DUN Perak sepakat lulus pindaan Enakmen Perhutanan

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 sebulat suara tanpa dibahas, pada Selasa.

RUU yang dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu diluluskan pada Sidang DUN Perak selepas dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang.

Saarani berkata, pindaan itu adalah untuk memperkemas peruntukan undang-undang khususnya bagi memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran serta meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

Menurutnya, pindaan tersebut melibatkan penambahbaikan terhadap beberapa seksyen sedia ada di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) selaras dengan keperluan semasa bagi menangani isu pencerobohan hutan dan pengambilan hasil hutan secara haram.

”Pindaan ini melibatkan lapan daripada 10 Bahagian yang melibatkan 62 seksyen daripada 117 seksyen. Bilangan seksyen yang dipinda adalah sebanyak 44 seksyen termasuk dua (2) jadual.

”Pewujudan seksyen baharu adalah sebanyak 12 seksyen, penggantian seksyen sedia ada sebanyak lima (5) seksyen dan satu (1) seksyen dipotong/dikeluarkan,” katanya.

Katanya, pindaan tersebut memperkukuh penguatkuasaan melalui peningkatan kadar denda dan hukuman, selain menambah baik mekanisme tindakan undang-undang sehingga ke peringkat kompaun dan pendakwaan di mahkamah.

”Peruntukan ini adalah penting bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dapat dikuatkuasakan secara lebih tegas, di samping memperkukuh integriti dan keberkesanan sistem pengurusan serta penguatkuasaan perhutanan negeri.

”Untuk aspek penguatkuasaan, pindaan memberi penekanan kepada keberkesanan tindakan undang-undang melalui peningkatan kadar denda dan hukuman terhadap kesalahan hutan, di samping memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan sehingga ke peringkat pengkompaunan dan pendakwaan di mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pindaan tersebut turut memberi kuasa kepada pegawai perhutanan Persekutuan untuk membantu dalam siasatan dan operasi penguatkuasaan dengan kebenaran pihak berkuasa negeri.

Katanya, selain itu, beliau berkata, klasifikasi Hutan Simpanan Kekal (HSK) diperluaskan dengan memperkenalkan kategori baharu iaitu hutan taman negeri bagi memperkukuh pengurusan kawasan hutan, penambahbaikan dalam pengurusan lesen dan permit termasuk aspek syarat, tempoh sah serta pelucutan deposit.

“Beberapa kesalahan baharu turut diperkenalkan seperti menghalang kerja penguatkuasaan, memberikan kenyataan palsu dan persubahatan seperti menjalankan oeprasi sekatan jalan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Saarani berkata, sebanyak 127 kes kesalahan hutan direkodkan hasil penguatkuasaan berterusan, termasuk 28 kes pembalakan haram. Dalam tempoh sama, 228 individu ditahan bagi membantu siasatan.

”Daripada jumlah itu, tujuh kes telah didakwa di mahkamah. Pihak berkuasa turut mengeluarkan kompaun dan tuntutan ganti rugi berjumlah RM1.155 juta, selain denda RM146,000 yang telah diselesaikan.

”Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan penguatkuasaan berterusan serta komitmen bersepadu dalam memastikan pengurusan hutan dilaksanakan secara berintegriti, tegas dan berkesan.

”Secara keseluruhannya, RUU ini memperkukuh usaha ke arah pengurusan hutan yang lebih mampan, berintegriti dan berdaya tahan bagi menjamin kelestarian sumber serta kepentingan jangka panjang negeri dan negara,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

DUN Perak Kecoh: Arafat Bertikam Lidah Dengan Pembangkang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI