IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membidas pembangkang yang mendakwa Perak sebagai negeri gagal dengan bersandarkan kepada data yang tidak tepat.
Saarani berkata, kerajaan negeri terbuka kepada kritikan sebaliknya ia perlu berteraskan kepada fakta yang sahih, bertanggungjawab dan tidak salah tafsir terhadap statistik yang dibentangkan.

“Apabila semakan dibuat, terdapat segelintir hujah yang dibina atas asas data yang tidak tepat, tidak disahkan sumbernya, malah dalam keadaan tertentu, jelas menyimpang jauh daripada fakta sebenar. Ini sesuatu yang tidak boleh saya biarkan berlalu begitu sahaja.
“Isunya bukan pada data dan statistik yang digunakan, tetapi bagaimana ia ditafsirkan, sama ada dilontarkan dengan jujur, atau dipilih-pilih untuk menyokong naratif yang akhirnya mengelirukan rakyat di luar sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Menurut Saarani, berdasarkan kepada data rasmi, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM86.2 bilion.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menegaskan, berdasarkan kepada angka itu ia telah meletakkan Perak di kedudukan keenam tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Katanya, kedudukan tersebut jelas menunjukkan Perak berada dalam kelompok pertengahan atas dan bukannya di kedudukan terendah sebagaimana yang didakwa beberapa ADUN Pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Razman Zakaria.
“Bagaimana boleh ada yang menyatakan Perak berada di kedudukan keenam terbawah sedangkan data jelas menunjukkan kita berada di tangga keenam tertinggi?
“Kalau sumbangan 5.2 peratus kepada KDNK negara dianggap gagal, bagaimana pula negeri-negeri lain yang mencatatkan peratusan lebih rendah, tersangat gagal? Ini tidak adil dan tidak berasas.
“Jika saya benarkan perbahasan pembangkang kata kita berada di tangga keenam ke bawah, negeri paling kecil menyumbang, kita negeri gagal, dan jika saya tak betulkan hari ini, ia akan dibaca generasi akan datang serta menimbulkan keresahan kepada pelabur,” katanya.
Tambah Saarani, trend KDNK Perak juga menunjukkan peningkatan konsisten dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini walaupun berdepan dengan cabaran termasuk pandemik COVID-19.

Beliau berkata, nilai KDNK negeri meningkat daripada RM75.9 bilion pada 2019 kepada RM74.26 bilion pada 2020 ketika pandemik, sebelum kembali meningkat kepada RM76.9 bilion pada 2021, RM80 bilion (2022), RM82.68 bilion (2023) dan seterusnya RM86.2 bilion pada 2024.
“Kalau kita terus melabel negeri ini gagal, ia akan memberi persepsi negatif kepada pelabur dan menjejaskan keyakinan mereka.
“Oleh itu adalah lebih baik sekiranya disebutkan bahawa negeri ini masih mempunyai potensi untuk maju supaya para pelabur ada keyakinan kepada negeri Perak,” ujar beliau.
Selain itu beliau memaklumkan, Perak berada pada kedudukan terbaik berdasarkan kepada rekod Purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) Bulanan Isi Rumah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Kalau kita ada duit RM3,727 kita boleh hidup selesa di Perak, jika hidup (dengan kadar kos sara hidup sama) di Kuala Lumpur dan Kedah, tidak lepas. Paling tinggi di Kuala Lumpur dengan kos RM5,468,” katanya.
Tambah Saarani, kerajaan negeri turuy komited untuk terus memperkukuh ekonomi melalui pelbagai inisiatif di bawah pelan pembangunan negeri, termasuk usaha beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada sektor perindustrian.
“Menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 kita bertungkus-lumus untuk menukar Perak daripada negeri berasaskan kepada pertanian kepada negeri perindustrian kerana kita mahu negeri ini maju sama seperti negeri lain,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


