KUALA LUMPUR – Usaha menamatkan konflik di Asia Barat perlu disegerakan bagi mengekang kesan ekonomi yang semakin memuncak terhadap negara ASEAN dan global susulan gangguan di Selat Hormuz yang menjejaskan rantaian bekalan tenaga serta mendorong inflasi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, gangguan di laluan strategik itu telah memberi kesan langsung kepada keselamatan ekonomi negara-negara ASEAN dengan impak rantaian merentasi pelbagai sektor.
“Peningkatan mendadak harga tenaga, baja dan pengangkutan sedang menaikkan harga makanan, meningkatkan kos pengeluaran dan pengedaran serta memacu inflasi,” titah baginda dalam Ucaptama Diraja sempena Forum Putrajaya ke-8 yang berlangsung sempena Defence Services Asia (DSA) 2026 dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Baginda turut menegaskan, negara yang mempunyai rizab tenaga rendah amat terdedah kepada gangguan berpanjangan, sekali gus berisiko menjejaskan sumber pendapatan rakyat walaupun keadaan kembali stabil dalam masa terdekat.
“Justeru, adalah amat penting rundingan untuk menamatkan konflik Asia Barat diselesaikan dengan segera dan berjaya,” titah baginda.
Selat Hormuz merupakan laluan minyak paling kritikal dunia yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman, dengan kira-kira 20 hingga 30 peratus penggunaan minyak global melalui selat itu setiap hari.
Menurut laporan Agence France-Presse, satu delegasi Amerika Syarikat dijangka ke Pakistan bagi pusingan baharu rundingan damai dengan Iran selepas pembukaan sementara selat tersebut dalam tempoh gencatan senjata selama 10 hari.
Bagaimanapun, kelonggaran itu dilihat terjejas apabila kedua-dua pihak terus melaksanakan sekatan manakala Tehran bertindak menutup selat berkenaan susulan kempen pengeboman udara oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran bermula 28 Februari lalu.
Sejak itu, pergerakan melalui selat yang lazimnya mengangkut sekitar satu perlima bekalan minyak dan gas dunia dilaporkan merosot dengan ketara. – MalaysiaGazette


