‘Ipoh Bandar Muzik’ sasar 10,000 pengunjung, tarik penyertaan dari China, Colombia

IPOH – Program ‘Ipoh Bandar Muzik: Bulan Muzik’ menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negara menerusi pelbagai acara yang berlangsung sepanjang Julai hingga pertengahan Ogos depan.

Pegawai Khas kepada Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Poon Sook Yee berkata, penganjuran itu merupakan usaha memperkukuh imej Ipoh sebagai bandar muzik selain merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

“Antara objektif program adalah untuk mewujudkan acara kebudayaan tahunan bertaraf antarabangsa di negeri Perak, di samping menggalakkan penglibatan komuniti serta belia dalam acara seni dan budaya.

“Memandangkan program ini berlangsung selama lebih sebulan, kami berharap ia mampu menarik minat bukan sahaja pelancong tempatan malah pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke Ipoh,” katanya.

Ipoh Bandar Muzik 2026 Tarik Penyertaan Dari China dan Colombia Bulan Muzik Ipoh, pelancongan Ipoh, acara muzik Perak, Piala Muzik Harmoni, Ipoh Bandar Muzik, pelancong luar negara ke Ipoh, seni dan budaya Perak
Pegawai Khas kepada Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Poon Sook Yee (kanan) ketika sidang media berkenaan Program ‘Ipoh Bandar Muzik: Bulan Muzik’ di Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 JUN 2026.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Program Ipoh Bandar Muzik: Bulan Muzik di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, penganjur program yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh Perak, Kok Sing Yee serta Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Wong Kar Keat.

Lima acara utama yang bakal menjadi pengisian kepada program berkenaan adalah Pertandingan Muzik Antarabangsa Kali Ketiga: Piala Muzik Harmoni, Larian Santai Muzik, Muzik Di Setiap Sudut Bandar, Kursus Jom Menyanyi Bersama serta Perak On Beat.

Sook Yee berkata, Piala Muzik Harmoni merupakan antara acara utama yang mana penganjuran yang memasuki tahun ketiga itu turut menerima penyertaan dari China dan Colombia, selain jemputan turut dihantar kepada peserta di Singapura serta Thailand.

Program ‘Ipoh Bandar Muzik: Bulan Muzik’ menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negara menerusi pelbagai acara yang berlangsung sepanjang Julai hingga pertengahan Ogos depan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 JUN 2026.

Kata beliau, pertandingan itu akan menampilkan lima kategori iaitu Muzik Tradisional Melayu, Orkestra Cina, Muzik Tradisional India, Festival 24 Dram serta Muzik Barat.

Sook Yee memberitahu, program Larian Santai Muzik turut diperkenalkan dengan konsep unik apabila peserta akan dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung di beberapa lokasi sepanjang laluan larian di Bukit Kledang.

“Satu lagi tarikan pada program ini ialah acara Muzik Di Setiap Sudut Bandar yang mana ia menampilkan persembahan berkonsepkan aksi rasa kilas atau ‘flash mob’ di beberapa lokasi di sekitar Ipoh.

“Selain lokasi persembahan yang tidak diumumkan, masa atau tarikh khusus yang juga tidak ditetapkan menambah elemen kejutan kepada orang ramai dan pelancong yang berada di lokasi terpilih,” katanya lagi.

Tambah beliau, sebagai acara kemuncak, delegasi kebudayaan dari Nanning, China dijadual hadir ke Ipoh pada pertengahan Ogos bagi menjayakan persembahan silang budaya bersama artis kebudayaan tempatan.

“Rombongan tersebut akan membawa penari dan penyanyi dari Nanning untuk membuat persembahan bersama artis dari Ipoh.

“Ia akan menjadi majlis penutup kepada kempen ‘Bulan Muzik’ serta mengukuhkan hubungan kebudayaan antara kedua-dua negeri dan negara, selain akan merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di Perak,” katanya lagi.

Ipoh Bandar Muzik 2026 Tarik Penyertaan Dari China dan Colombia Bulan Muzik Ipoh, pelancongan Ipoh, acara muzik Perak, Piala Muzik Harmoni, Ipoh Bandar Muzik, pelancong luar negara ke Ipoh, seni dan budaya Perak
Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Wong Kar Keat ketika sidang media berkenaan Program ‘Ipoh Bandar Muzik: Bulan Muzik’ di Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 JUN 2026.

Dalam pada itu Kar Keat berkata, program berkenaan bukan sahaja berupaya menarik lebih ramai pelancong, malah dilihat mampu menjadi antara platform terbaik dalam memupuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum menerusi aktiviti seni dan budaya.

Menurut beliau, penyertaan delegasi dari beberapa negara ke program tersebut turut membuka ruang kepada pengukuhan hubungan dua hala serta pertukaran budaya masyarakat di peringkat antarabangsa.

“Kami berharap program-program yang dirancang dapat mengeratkan semangat perpaduan khususnya Perak, selain samping mengukuhkan hubungan dengan negara-negara luar melalui kehadiran peserta dari luar negara.

“Dengan sokongan kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat, saya yakin inisiatif ini dapat terus mengangkat nama Ipoh sebagai bandar muzik di peringkat lebih luas,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak Sejahtera 2030: Ipoh bandar Muzik semarakan kesenian di Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI