IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan satu kajian awal bagi penilaian kecukupan sumber air negeri termasuk Sungai Perak melalui Kajian Perak State Water Resources Assessment.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, hasil dapatan awal kajian menunjukkan purata kadar alir tahunan bagi Sungai Perak masih mampu memenuhi permintaan sumber air untuk keperluan bekalan air pertanian dan domestik di sepanjang sungai berkenaan.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa penemuan yang memerlukan langkah mitigasi, khususnya apabila kadar alir pada bulan-bulan tertentu didapati lebih rendah daripada purata bulanan seperti yang berlaku sejak Disember 2025.
“Antara cadangan mitigasi berdasarkan senario semasa adalah dengan mengoptimumkan penggunaan takungan sedia ada, termasuk pelaksanaan cadangan tambahan takungan pinggiran sungai (ORS) yang akan diaplikasikan di Sungai Kerian dan Sungai Kurau di Alor Pongsu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri telah memohon JPS mendapatkan sebanyak mungkin data terkini daripada pelbagai agensi termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menilai senario semasa.
“Ia bagi mempertimbangkan cadangan-cadangan baharu seperti pembinaan takungan tambahan yang boleh diteroka bagi membentuk satu prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Sumber Air Sungai Perak, termasuk kajian kesesuaian cadangan ampang jajar Sungai Perak yang dibangkitkan.
“JPS pula memaklumkan pihaknya sentiasa memantau secara rapi isu penurunan paras air Sungai Perak berdasarkan data hidrologi dan teknikal semasa,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


