IPOH – Perak komited untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan petugas penguatkuasaan dapat melaksanakan langkah-langkah yang perlu, termasuk meningkatkan kekerapan rondaan, demi melindungi Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di seluruh negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain itu, kerajaan negeri melihat bahawa undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi menghukum mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan, terutamanya dalam KSAS.
“Tindakan pendakwaan ke mahkamah akan diambil bagi memastikan pihak yang menceroboh dikenakan tindakan kompaun dan penjara
“Kanun Tanah Negara (KTN) melalui Seksyen 425 dan 426 menyatakan jika mana-mana pihak yang menjalankan ceroboh di bawah Seksyen ini boleh didenda sebanyak RM500,000 dan penjara 10 tahun boleh dikenakan.
“Walaubagaimanapun kita faham undang-undang tanpa penguatkuasaan peraturan-peraturan ini tidak akan dihormati.
“Kerajaan negeri sangat komited untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya petugas-petugas penguatkuasaan akan dapat mengambil langkah-langkah sewajarnya termasuk kekerapan rondaan dan jika tidak mencukupi anggota, kita akan cari jalan supaya anggota itu dapat ditambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri memandang serius isu pencerobohan kawasan rizab sungai dan laut di daerah Bagan Datuk, memandangkan daerah ini memiliki garis pantai terpanjang antara semua daerah iaitu sepanjang 35 kilometer dan kaya dengan ekosistem hutan bakau.
“Pentadbiran Negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk sentiasa komited dalam memelihara khazanah alam ini melalui tindakan penguatkuasaan di bawah KTN.
”Bagi pencerobohan dalam kawasan rizab hutan pula, tindakan akan diambil di bawah Akta Perhutanan 1984.
“Selain itu, tindakan operasi bersepadu turut dilaksanakan antara contoh tindakan yang telah diambil adalah pada 30 September 2024.
“Satu operasi besar-besaran melibatkan pelbagai agensi iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk, Pejabat Tanah dan Galian, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Perhutanan telah dilaksanakan di Kampung Sungai Lanchang bagi membanteras pembinaan kolam udang haram seluas 20 ekar (8.1 hektar),” ujarnya.
Tambahnya, tindakan pemantauan kawasan hotspot secara berterusan dilakukan di kawasan Hutan Simpan Paya Bakau sedia ada (PW 123.4 dan PW 5326) bagi memastikan tiada pencerobohan baharu berlaku. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga peratus zon ladang hutan di Perak, tiada tambahan keluasan baharu


