IPOH – Penganjuran pertandingan bola sepak Liga Perak Sejahtera 2030 tidak melibatkan peruntukan dari kerajaan negeri kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) seperti didakwa pembangkang.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, sebaliknya pertandingan tersebut merupakan kolaborasi antara PAFA dengan pihak penganjur dalam melahirkan bakat muda.
Khairudin berkata, justeru itu, dakwaan mengaitkan peruntukkan RM2 juta bagi pembangunan sukan negeri seperti yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tidak tepat.
“RM2 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri Perak kepada PAFA tidak terlibat dengan penganjuran Liga Perak Sejahtera, sebaliknya ia adalah untuk pembangunan sukan negeri.
“Peruntukkan ini meliputi anggaran perbelajaan seperti pasukan Liga A1 sebanyak RM950,000; pasukan belia (RM300,000); pasukan SUKMA yang bermain di Liga Ipoh (RM50,000); persiapan pasukan SUKMA BERMUL 2025 HINGGA 2026 (RM200,000); program pembangunan (RM200,000); pengadil (RM50,000); futsal dan bola sepak pantai (RM100,000); bola sepak wanita (RM50,000) dan bola sepak kurang upayua (RM100,000),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin
Mengulas lanjut mengenai Liga Perak Sejahtera 2030, Khairudin berkata, PAFA bebas menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk melahir serta mengetengahkan bakat muda di negeri ini.
“Kalau pihak Yang Berhormat Titi Serong ada keinginan untuk menganjurkan liga yang sama bersama dengan FAFA, saya alu-alukan. Berkaitan dengan kolaborasi itu kita galakkan tidak ada sebarang perbalahan dan sebagainya.
“Cuma apabila disebut penggunaan RM2 juta itu untuk Liga Perak Sejahtera, saya selaku Exco yang terlibat dengan sukan saya nafikan kerana ini adalah kertas kerja yang telah diluluskan dalam pembentangan bajet sebelum ini,” katanya.
Terdahulu suasana dewan bertukar tegang apabila ADUN Titi Serong, Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat mempersoalkan peruntukkan Liga Perak Sejahtera.
Bagaimanapun, Khairudin menempelak kenyataan berkenaan dengan mengatakan penganjuran liga tersebut bersifat kerjasama komoditi, bukan penguasaan politik serta tidak melibatkan peruntukan RM2 juta oleh pihak kerajaan negeri kepada PAFA sebelum ini. -MG Perak


