Jaslinda bertahan minum air embun, makan tumbuhan liar – Bomba

TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat selepas hilang di Gunung Batu Putih sejak dua minggu lalu, bertahan hidup dengan meminum air embun dan memakan tumbuhan liar sepanjang berada di dalam hutan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa turut memaklumkan tidak minum air selama tiga hari sebelum bergantung kepada sumber semula jadi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Mangsa memaklumkan bahawa ada ketikanya dia tidak meminum air selama tiga hari dan hanya bertahan dengan meminum air embun.

“Selepas tempoh tersebut, dia bergantung kepada sumber air sungai serta memakan tumbuh-tumbuhan liar yang ditemui di dalam hutan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah di sini pada Sabtu.

Sabarodzi memberitahu, berdasarkan pemeriksaan awal kesihatan, Jaslinda berada dalam keadaan stabil, namun hanya mengalami kecederaan ringan termasuk gigitan serangga serta luka kecil di kepala akibat terjatuh.

Beliau berkata, kesan luka tersebut disebabkan wanita itu dikatakan terjatuh beberapa kali termasuk di kawasan sungai dalam sepanjang tempoh usahanya mencari jalan keluar.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang berada di dalam hutan, keadaan fizikal dan mental mangsa didapati sangat kuat.

“Dia merupakan seorang wanita yang kuat dan tabah serta berjaya mengharungi pengalaman getir ini dengan selamat,” katanya lagi.

Jaslinda bertahan minum air embun dan makan tumbuhan liar Related Keyphrases: Jaslinda Saludin, pendaki hilang Gunung Batu Putih, survivor hutan, hilang 15 hari dalam hutan, ditemukan selamat Tapah, operasi SAR Jaslinda, minum air embun, makan tumbuhan liar, pendaki wanita Perak Jaslinda Saludin hilang 15 hari air embun tumbuhan liar Gunung Batu Putih operasi SAR ditemukan selamat bertahan hidup dalam hutan
Pendaki Jaslinda Saludin, 49, yang sebelum ini dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, Tapah selamat tiba dan dibawa ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah pada jam 9.20 malam oleh Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 JUN 2026.

Mengulas laluan yang dilalui mangsa, Sabarodzi berkata, Jaslinda sebenarnya berada dalam kawasan pencarian pasukan penyelamat sepanjang tempoh kehilangan.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan beberapa kali bergerak turun dan naik dari kawasan sungai selain mengakui pernah sampai ke kawasan Gunung Rayu dan Bukit Berapit.

“Kawasan-kawasan berkenaan sememangnya telah dimasuki oleh pasukan penyelamat sebelum ini. Bagaimanapun, mungkin faktor mangsa yang sentiasa bergerak menyebabkan kedudukannya sukar dikesan lebih awal walaupun kawasan yang dilaluinya merupakan kawasan yang sama sedang dilalui pasukan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Sabarodzi berkata, sepanjang tempoh kehilangan kira-kira dua minggu, mangsa mendakwa tidak mendengar bunyi helikopter penyelamat walaupun aset udara digunakan secara aktif sepanjang operasi SAR.

“Ini mungkin antara perkara yang terdapat faktor lain kerana operasi udara memang dilaksanakan di ruang udara kawasan pencarian mangsa.

“Namun, apa yang paling penting ialah mangsa akhirnya berjaya keluar dan ditemukan dalam keadaan selamat seperti yang didoakan semua pihak,” katanya.

Berhubung penemuan mangsa, beliau berkata, Jaslinda dipercayai menyusuri laluan anak sungai sebelum akhirnya bertemu dengan pemancing yang membawanya keluar ke kawasan penempatan di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Kata Sabarodzi, penduduk kampung kemudian membawa mangsa ke rumah Tok Batin sebelum pasukan bomba tiba untuk memberikan rawatan awal kira-kira jam 8 malam.

“Mangsa seterusnya dibawa keluar menggunakan jentera EMRS dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Tapah pada jam 9.20 malam,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

‘Saya tahu isteri saya kuat&#8217- ‘Suami Jaslinda

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI