TAPAH – Pendaki wanita yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu, Jaslinda Saludin, 49, memohon maaf serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.
Wanita yang ditemukan selamat selepas 15 hari hilang ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Chapman di gunung berkenaan itu sempat mengukir senyuman ketika ditemui pengamal media di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, di sini, hari ini.
“Terima kasih. Minta maaf kerana menyusahkan rakyat Malaysia” katanya ringkas.
Jaslinda turut menghargai usaha pasukan penyelamat serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan dirinya.
“Terima kasih, minta maaf kerana menyusahkan,” katanya sekali lagi ketika menerima rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di kampung berkenaan.
Ditanya mengenai keadaannya, Jaslinda hanya mengukir senyuman dengan berkata bahawa dirinya berada dalam keadaan baik.
“Ok tak oklah. Nikmati hidup,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jaslinda telah ditemukan berhampiran di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Batu 8, Jalan Pahang, Tapah.
Katanya, mangsa telah ditemukan oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Nazri Bah Eng kira-kira pada jam 3 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin dalam satu kenyataan mengesahkan Jaslinda ditemui dan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita itu dihentikan secara rasmi.
Media sebelum ini melaporkan Jaslinda telah menyertai pendakian ‘Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain bersama dua malim gunung pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu dengan melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, kemudian dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, pendaki wanita itu dikatakan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi pada 24 Mei. – MG Perak


