245 wira muda negara wanita tamat latihan PLKN 3.0 siri 2/2026

KUALA LUMPUR – Seramai 245 pelatih wanita menamatkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026 selepas menjalani latihan selama 45 hari bermula 25 April lalu.

Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah berkata, program berkenaan telah membentuk pelatih yang lebih berkeyakinan, berdisiplin dan memiliki jati diri yang lebih kukuh berbanding ketika mula menyertai latihan.

Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khidmat Pelatih PLKN 3.0 Siri 2/2026 di Kem 515 Kementah, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 JUN 2026.

Menurut beliau, kerajaan menerusi gagasan Malaysia MADANI mahu melahirkan generasi kalis masa hadapan yang mampu berdepan cabaran dan ketidaktentuan dunia dengan sikap proaktif, ketajaman akal serta ketahanan jiwa.

“Kerajaan Madani, hasratnya jelas, mahu melahirkan generasi The Future Proof Generation atau generasi kalis masa hadapan. Dunia tahun 2026 menuntut lebih daripada sekadar kekuatan fizikal.

“Zaman yang bakal mendatang sesungguhnya amat mencabar dan penuh ketidaktentuan. Justeru, ia menuntut sikap proaktif, ketajaman akal, kejernihan hati serta kekentalan jiwa dalam menghadapi setiap cabaran dan dugaan,” katanya.

Reaksi pelatih ketika perbarisan masuk bagi Tamat Latihan Khidmat Pelatih PLKN 3.0 Siri 2/2026 di Kem 515 Kementah, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 JUN 2026.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih PLKN 3.0 Siri 2/2026 di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan para pelatih supaya mengekalkan semangat keprihatinan, kesukarelawanan dan persaudaraan yang dipupuk sepanjang program serta sentiasa bersedia membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam masa sama, beliau menyeru golongan muda supaya menguasai teknologi dan inovasi serta memanfaatkan disiplin yang diperoleh sepanjang latihan sebagai bekalan dalam dunia kerjaya dan kehidupan.

Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah bergambar bersama pelatih pada Majlis Tamat Latihan Khidmat Pelatih PLKN 3.0 Siri 2/2026 di Kem 515 Kementah, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 JUN 2026.

Mohd Shauari juga menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta menggesa pelatih menjadi ejen penyatu masyarakat dengan memupuk sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Di kem ini, saya pasti Wira Muda telah melalui satu fasa kehidupan yang cukup istimewa dan rare. Di sinilah anak Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain berkongsi dulang rezeki, merebahkan lelah di bantal yang sama dan merangkak di tanah lumpur tanpa sekelumit pun rasa curiga.

“Sukan dan PLKN adalah dua wadah ampuh yang menyatukan kita tanpa syarat,” jelasnya.

Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah ketika pemeriksaan perbarisan bagi Tamat Latihan Khidmat Pelatih PLKN 3.0 Siri 2/2026 di Kem 515 Kementah, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 JUN 2026.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelatih supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan menjauhi perbuatan buli siber yang boleh menjejaskan maruah serta kesejahteraan individu lain.

Menurutnya, dapatan kaji selidik yang dijalankan sejak pelaksanaan program itu menunjukkan peningkatan dalam aspek patriotisme, kesetiaan kepada negara, perpaduan dan toleransi kaum, disiplin serta pembentukan jati diri yang lebih matang dan bertanggungjawab dalam kalangan pelatih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI