IPOH – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyumbang kepakaran teknikal serta khidmat sokongan pakar bagi membantu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha membangunkan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam dan Indeks Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sebagai peneraju dalam bidang kesihatan negara memang bertanggungjawab khususnya kesihatan mental yang pastinya menjadi antara keutamaan.
Menurutnya, sokongan itu akan diberikan menerusi pakar KKM, khususnya dalam aspek kesihatan mental dan pengendalian isu berkaitan kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.
“Kedua-dua perkara itu, walaupun kita sudah ada guideline, tapi mereka (JPA) mahu bangunkan sendiri untuk menangani lebih 50,000 penjawat awam yang yang terjejas ataupun terkait dengan kesihatan mental.
“Kami bersedia membantu mereka dalam membangunkan kedua-dua indeks dan garis panduan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Kolej Poly-Tech Mara Ipoh, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dikategorikan berisiko tinggi dalam isu kesihatan mental, termasuk kecenderungan membunuh diri.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail dilaporkan berkata, jumlah itu menunjukkan kepentingan memperkukuh kesejahteraan psikologi dalam kalangan penjawat awam secara menyeluruh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KKM, KPM perkukuh kerjasama tangani buli, cegah risiko pelajar bunuh diri


