GLC Perak perlu terjemah aset kepada peluang ekonomi – Saarani

IPOH – Kerajaan negeri mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak bergerak melangkaui peranan sebagai pengurus aset dan perniagaan, sebaliknya menterjemahkan keupayaan dimiliki kepada peluang ekonomi, pelaburan dan pertumbuhan yang memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kekuatan sesebuah GLC bukan hanya diukur berdasarkan tempoh penubuhannya, tetapi keupayaan untuk kekal relevan, menyesuaikan diri dengan perubahan serta memberikan pulangan dan impak yang bermakna.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi perjalanan Majuperak Holdings Berhad (MHB) yang kini memasuki usia 50 tahun sejak ditubuhkan pada 5 September 1976.

“GLC perlu bergerak melangkaui peranan sebagai pengurus aset dan perniagaan. Keupayaan yang ada mesti diterjemahkan kepada peluang ekonomi, pelaburan, pertumbuhan dan manfaat yang lebih besar kepada negeri serta rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut Saarani, perjalanan lima dekad MHB membuktikan keupayaan organisasi berkenaan untuk berkembang dan menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa, daripada sebuah entiti yang menyokong agenda pembangunan negeri kepada organisasi korporat yang berdaya saing dan mampu mencipta nilai.

Katanya, MHB juga telah melalui pelbagai fasa perkembangan seiring perubahan landskap ekonomi dan pembangunan Perak.

“50 tahun bukan sekadar angka. Ia mencerminkan pengalaman, ketekunan dan sumbangan beberapa generasi yang telah membina MHB sehingga ke tahap hari ini,” katanya.

Antara pencapaian penting MHB ialah penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 27 Jun 2007, yang menjadi antara tonggak dalam memperkukuh kedudukan syarikat sebagai organisasi korporat yang kompetitif dan berteraskan tadbir urus baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Muhammad Yazurin Sallij berkata, sambutan Jubli Emas berkenaan merupakan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada perjalanan syarikat sepanjang lima dekad.

Katanya, tema sambutan, ‘Sebuah Kepimpinan. Sebuah Sumbangan. Sebuah Legasi.’ mencerminkan kesinambungan peranan setiap generasi dalam membangunkan MHB.

“Legasi tidak seharusnya hanya dikenang, tetapi perlu diteruskan melalui prestasi, pembaharuan dan penciptaan nilai yang mampu membawa MHB ke tahap seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, MHB kini memberi tumpuan kepada pengukuhan bidang teras meliputi pembangunan hartanah dan infrastruktur, pengurusan aset dan fasiliti serta tenaga boleh diperbaharui.

Dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin mencabar, katanya, MHB akan terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan operasi dan meneroka peluang pertumbuhan yang berdaya maju.

Berbekalkan pengalaman lima dekad, MHB akan terus menjadikan legasi yang dibina sebagai asas untuk memperkukuh prestasi, meneroka peluang baharu dan mencipta nilai lebih besar selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI