GOPENG – Masalah tiada liputan telekomunikasi di lokasi titik buta atau blind spot di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Perak berjaya ditangani.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, usaha menambah baik liputan telekomunikasi di jajaran tersebut akan memberi manfaat kepada jutaan pengguna yang menggunakan lebuh raya berkenaan setiap hari.
Menurutnya, kerajaan negeri masih mengenal pasti beberapa kawasan yang mengalami masalah liputan atau blind spot termasuk di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) untuk tindakan lanjut.
“Hari ini kita ke Gua Tempurung untuk melihat infrastruktur komunikasi yang telah siap dibina oleh Verticom dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PLUS dan syarikat telekomunikasi (telco).
“Sebelum ini, dalam Jawatankuasa Pemantauan Isu Liputan Telekomunikasi Negeri Perak (JPIL) yang kita telah tubuhkan sejak tahun 2023, kita letakkan Gua Tempurung ni sebagai salah blind spot connectivity kerana rangkaian untuk kedua-dua arah di kawasan tersebut tidak mempunyai liputan.
“Kerajaan negeri juga sudah selesaikan masalah di liputan di Terowong Menora dan hari ini alhamdulillah kita dimaklumkan menara (telekomunikasi) ini (Gua Tempurung) telah beroperasi lebih kurang sebulan.
“Saya difahamkan, terdapat lima penyedia perkhidmatan telco yang berada dalam menara ini iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM/Unifi), dan YTL Communications (Yes).
“Connectivity (hubungan rangkaian) kini menjadi satu keperluan penting kepada masyarakat, terutama bagi urusan harian dan panggilan kecemasan ketika berada di lebuh raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak menara telekomunikasi di Gua Tempurung di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah MCMC Perak, Mohd Irwan Mohamed.
Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, masalah tiada liputan hampir selesai namun masih ada kawasan yang mengalami liputan lemah disebabkan faktor muka bumi atau halangan tertentu, namun masih mempunyai sambungan telekomunikasi
“Contohnya kalau kita dapati di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah ketika waktu cuti akan menjadi sesak, sudah tentu connectivity di kawasan itu akan mula terjejas.
“Tapi, saya difahamkan SKMM sentiasa meletakkan extra device (peranti) di kawasan tersebut bagi memberi liputan tambahan.
“Kita juga melihat dari semasa ke semasa jika perlu ada lagi menara telekomunikasi yang perlu dibina di kawasan sepanjang jajaran ini, kita akan dapatkan daripada MCMC di peringkat Persekutuan untuk kita bina menara melalui program-program yang akan datang,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


