Kurang pelancong bermalam, Perak sukar tarik kehadiran hotel antarabangsa

IPOH – Usaha menarik pelaburan daripada rangkaian hotel antarabangsa ke negeri Perak berdepan cabaran apabila negeri ini mengalami kekurangan jumlah pelancong yang memilih untuk bermalam.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, faktor itu menjadi antara kekakangan utama pemain industri untuk membawa jenama hotel terkemuka walaupun negeri ini mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi.

Jelas beliau, kedudukan Perak yang strategik di antara laluan utara dan selatan Semenanjung menyebabkan negeri itu sering menjadi lokasi persinggahan pelancong, namun tidak sebagai destinasi untuk bermalam.

“Tanpa data kukuh mengenai jumlah penginapan, ia menyukarkan kita untuk meyakinkan pelabur, termasuk dalam kalangan rangkaian hotel global.

“Majoriti pelancong hanya singgah di Perak untuk lawatan sehari sahaja sama ada di Teluk Intan, Manjung, Perak Tengah atau Taiping, sebelum meneruskan perjalanan dan bermalam di negeri jiran seperti Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.

“Perkara sama juga berlaku pada sebaliknya apabila mereka datang dari Pulau Pinang, mereka akan singgah di Perak tetapi memilih untuk bermalam di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Tambah Sze Yee (PH-Jalong), kekurangan data penginapan juga memberi kesan kepada usaha negeri mendapatkan kemudahan sokongan lain seperti penambahan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk penerbangan.

“Jika kita tidak mempunyai angka pelancong yang bermalam di Ipoh, Taiping dan kawasan lain, sukar untuk kita memohon penambahan perkhidmatan seperti penerbangan dan rangkaian pengangkutan.

“Sebab itu, usaha meningkatkan tempoh penginapan pelancong menjadi keutamaan kerajaan negeri ketika ini,” ujarnya

Justeru beliau memaklumkan, kerajaan negeri kini sedang giat memberi tumpuan kepada usaha untuk memanjangkan tempoh penginapan pelancong sebagai antara strategi merangsang industri pelancongan serta menarik pelaburan hotel ke negeri ini.

Kata beliau, antara langkah yang diambil termasuk kepada meningkatkan penawaran penginapan berkualiti, khususnya hotel butik yang dilihat semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan pelancong.

Jelas Sze Yee, perkembangan pembukaan beberapa hotel butik khususnya di Bandar Raya Ipoh menunjukkan pertumbuhan positif sektor pelancongan. sekali gus membantu menambah kapasiti penginapan di negeri ini.

“Tidak semua pelancong memilih untuk menginap di hotel lima atau enam bintang, sebaliknya mereka hanya mahukan tempat tidur yang selesa, bersih dan berkualiti.

“Hotel butik kini semakin mendapat tempat kerana menawarkan pengalaman penginapan yang selesa dengan konsep unik, selain memenuhi keperluan pelancong yang lebih gemar meneroka destinasi dan makanan tempatan di luar berbanding berada lama di hotel,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

WEIL hotel pertama terima Pensijilan ESG

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI