TAPAH – Sebuah premis menjual perkakasan dan barangan membuat kek di Slim River didapati menyimpan hampir 8,000 kilogram (kg) tepung dan 1,000 kg gula tanpa kebenaran.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, perbuatan berkenaan terbongkar dalam satu pemeriksaan di bawah Ops Tiris 4.0 yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Tapah pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan sekitar jam 11.30 pagi itu mendapati premis tersebut memiliki barang kawalan iaitu tepung gandum dan gula untuk jualan.
“Satu notis dibawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat pemilikan barang kawalan yang berada di premis tersebut.
“Hasil maklumbalas terhadap notis tersebut mendapati premis ini memiliki bekalan semasa tepung gandum sebanyak 7,813kg dan gula sebanyak 1,056kg,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Kamaluddin, bagaimanapun peniaga tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita sebanyak 7,813kg tepung gandum, 1,056kg gula dan dokumen-dokumen berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM21,862.32.
“Kes ini akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan menjual barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya.
Kamaluddin turut meminta masyarakat disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi. -MG Perak


