Perak kedua tertinggi kes bitcoin haram, kerugian RM5.49 bilion

IPOH – Perak merekodkan kedudukan kedua tertinggi di Semenanjung melibatkan kes aktiviti perlombongan haram bitcoin dengan kerugian ditanggung Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM5.49 bilion sejak 2018.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan beberapa kawasan di negeri ini mencatatkan jumlah kes tertinggi, khususnya di daerah Manjung dan Perak Tengah (Seri Iskandar).

Menurutnya, Manjung merekodkan sebanyak 1,742 premis terlibat dengan anggaran kerugian mencecah RM53.4 juta, manakala Perak Tengah mencatatkan 857 premis dengan anggaran kerugian sekitar RM26.2 juta.

“Kebanyakan kes di kedua-dua kawasan tersebut didapati melibatkan kegiatan usikan terhadap pepasangan meter elektrik yang dilakukan secara berulang, khususnya di premis yang digunakan untuk aktiviti perlombongan bitcoin.

“Sejak tahun 2018 sehingga Feb 2026, TNB telah mengambil tindakan ke atas 17,489 premis di seluruh negara.

“Di Perak ia melibatkan 4,283 premis yang terlibat dalam perlombongan bitcoin atau mata wang kripto dan melakukan pengubahsuaian meter atau penyambungan bekalan elektrik secara haram bagi tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar memaklumkan, sehingga Februari 2026, sebanyak 1,157 operasi telah dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan keseluruhan 3,240 premis perlombongan di seluruh negeri.

Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan nilai mata wang kripto bitcoin sebanyak 732 peratus dari tahun 2018 hingga Februari 2026 telah menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan mendadak aktiviti perlombongan bitcoin haram tersebut dalam tempoh berkenaan.

Katanya, penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah penting kerana mereka mempunyai kuasa berkaitan aspek premis, perlesenan, penggunaan tanah dan keselamatan bangunan.

“Di samping itu, PBT dapat membantu menutup atau menyita premis yang terlibat, sekali gus memperkukuhkan tindakan bersepadu bagi membanteras aktiviti perlombongan bitcoin haram dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kajian JPS: Sungai Perak masih mampu tampung keperluan air negeri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI