KUALA LUMPUR – Kerajaan menambahan bantuan lagi sebanyak RM5 bilion menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) menjadikan jumlah keseluruhan RM10 bilion susulan krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta BNM untuk segera menambah kemudahan tersebut di mana perincian akan diumumkan gabenor bank pusat itu dalam masa terdekat.
Menurut beliau, tambahan peruntukan itu bertujuan membantu memacu pertumbuhan sebagai pemangkin kepada syarikat-syarikat yang memerlukan bantuan.
“Dan bantuan ini mesti juga melibatkan syarikat-syarikat yang lebih kecil dan kita minta dipastikan dengan semua kemudahan lain, CGC (Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd) dan lain-lain yang ada dalam rencana Bank Negara Malaysia bersama dengan Perbendaharaan supaya melibatkan juga kelompok pertanian, pekebun kecil, nelayan, penjaja juga yang mengendali warung dan restoran kecil.
“Kita mahu supaya pengurusan entrepreneur peringkat rendah dan syarikat-syarikat kecil yang melibatkan ramai rakyat itu tidak rasa terpinggir dan terabai.
“Dan saya mahu supaya kemudahan yang diumumkan ini menetapkan supaya kelompok paling kecil ini juga mempunyai manfaat,” katanya yang juga Menteri Kewangan pada sidang media selepas bersempena Sesi Meja Bulat Bersama Institusi Kewangan di sini hari ini.
Turut hadir Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau juga akan mengumumkan langkah-langkah tambahan buat kelompok yang tersisih dari peluang pekerjaan termasuk siswazah menganggur atau pun lulusan diploma dalam masa terdekat ini.
Semalam, kerajaan memperuntuk sehingga RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menyokong perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat krisis tenaga global berikutan perang Asia Barat.
Kementerian Kewangan berkata, antara sektor terbabit yang diberikan keutamaan ialah bidang pembinaan, pertanian dan agrimakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.
Selain itu, kementerian juga mengumumkan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-invois fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan dan tanpa penalti dalam tempoh berkenaan.
Pada masa sama, pertimbangan secara interim diberikan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport susulan gangguan konflik sehingga 31 Disember depan.
Kementerian Kewangan berkata, langkah berkenaan diputuskan hasil libat urus antara Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan dengan PMKS semalam dan minggu lalu bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan dalam usaha membantu perniagaan yang terkesan dari segi kos operasi dan rantaian bekalan. – MalaysiaGazette


