IPOH – Kerajaan Perak menetapkan supaya semua tapak masjid dan surau di negeri ini dikeluarkan hak milik berdaftar serta diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memandang serius terhadap isu pemilikan tanah institusi rumah ibadat itu bagi menjamin kelestarian aset umat Islam.
Katanya, langkah itu merupakan pendekatan proaktif bagi mengelakkan sebarang pertikaian sempadan atau pertindihan hak milik sepertimana yang pernah berlaku ke atas Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu.
“Kerajaan negeri telah menetapkan supaya tapak-tapak masjid dan surau diukur secara halus, dikeluarkan hak milik berdaftar dan diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.
“Bagi mempercepatkan urusan ini, kuasa meluluskan permohonan tapak rumah ibadat sedia ada telah diwakilkan terus kepada Pengarah PTG Negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Menyentuh tentang isu Masjid Al-Kurauwi di Batu Kurau, Saarani berkata, tapak tersebut sebenarnya merupakan tanah rizab masjid yang telah diwartakan sejak tahun 1908.
Kata beliau, bagaimanapun bagi memperkemas status pemilikan di bawah Kanun Tanah Negara, MAIPk selaku pemegang amanah tunggal telah mengemukakan permohonan pemberimilikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut dan Matang pada 6 Oktober 2017.
Saarani memberitahu, permohonan itu telah diluluskan pada 8 Mac 2022, dan MAIPk telah menjelaskan sepenuhnya bayaran premium melalui Notis 5A pada 25 Mac 2022 dalam tempoh yang ditetapkan.
Pada masa sama, mengulas tentang pengeluaran geran hak milik, Saarani menjelaskan, perkara itu berpunca daripada proses teknikal penyempurnaan pewartaan kawasan tersebut sebagai kawasan Rizab Melayu.
“Proses ini memerlukan penyelarasan rapi antara beberapa agensi utama, iaitu pentadbiran tanah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi tujuan ukuran halus dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk urusan warta rasmi.
“Hak milik berdaftar hanya dapat dikeluarkan sebaik sahaja proses pengisytiharan dan pewartaan kawasan Rizab Melayu tersebut dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa usaha pemantauan dan penyelarasan untuk memperkasakan pengeluaran hak milik kepada MAIPk sedang dilaksanakan secara berterusan.
“Meskipun dokumen siar Warta Kerajaan sedia ada (tahun 1908) adalah sah untuk rujukan pembangunan, kerajaan tetap komited menyelesaikan proses pengeluaran geran hak milik Masjid Al-Kurauwi dan masjid-masjid lain di Perak bagi memastikan jaminan pemilikan yang lebih kukuh dan bersistematik,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kor Ming sumbang RM72,000 kepada 24 buah masjid di Teluk Intan


