Talian HEAL rekod 518 kes krisis tingkah laku bunuh diri

IPOH – Sebanyak 267,873 panggilan direkodkan menerusi Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love) sepanjang lebih empat tahun sehingga 19 September lalu, termasuk 518 kes krisis tingkah laku bunuh diri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, talian berkenaan memainkan peranan penting dalam membantu individu yang berdepan krisis kesihatan mental termasuk pemikiran dan cubaan membunuh diri.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan panggilan itu, seramai 220,859 klien atau 82 peratus menerima sokongan emosi, manakala 47,014 klien, kira-kira 18 peratus, menerima intervensi khusus.

“Klien yang menerima intervensi khusus dikendalikan oleh pegawai psikologi dan kaunseling daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebanyak 518 kes krisis tingkah laku bunuh diri termasuk idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri telah dikendalikan Talian HEAL.

“Daripada jumlah itu, 347 kes idea bunuh diri diberikan intervensi secara langsung, manakala 171 kes cubaan bunuh diri dirujuk dengan mengaktifkan MERS 999 melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jabatan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Kolej Poly-Tech Mara Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha.

Dalam perkembangan sama, Dzulkefly, menjelaskan bahawa peningkatan jumlah panggilan yang diterima setiap tahun perlu dilihat daripada sudut cabaran kesihatan mental, namun pada masa sama ia menunjukkan semakin ramai masyarakat bersedia mendapatkan bantuan.

“Pada 2023, sebanyak 27,738 panggilan diterima dan jumlahnya meningkat kepada 42,990 pada 2024 dan hampir dua kali ganda pada 2025 dengan 90,981 panggilan.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat semakin celik, semakin mahu mencari bantuan, semakin mahu mencari intervensi, semakin mahu mendapatkan sokongan dan bantuan psikologi,“ ujarnya. – MGPerak

Artikel Berkaitan:

KKM, KPM perkukuh kerjasama tangani buli, cegah risiko pelajar bunuh diri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI