Lelaki OKU hilang ditemukan selamat, sempat mandi di rumah penduduk

BATU GAJAH – Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, di sini, sejak Isnin lalu, ditemukan selamat pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa, Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan, 26, ditemukan orang awam kira-kira jam 3.37 petang, pada Rabu, selepas dilihat melambaikan tangan meminta bantuan di tepi jalan berhampiran ladang sawit berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 7, Tanjung Tualang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 1.2 kilometer dari rumahnya dalam keadaan selamat.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Batu Gajah bagi menerima rawatan lanjut berkaitan masalah kesihatan penyakit asma yang dihidapi oleh mangsa,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Menurut beliau, terdahulu pagi tadi pasukan penyelamat menerima maklumat daripada penduduk kampung bahawa mangsa dipercayai berada di sebuah rumah salah seorang penduduk kerana dikatakan untuk menumpang mandi.

“Pemilik rumah pada mulanya tidak dapat mengecam mangsa, namun selepas menyedari lelaki berkenaan adalah individu yang dilaporkan hilang, mangsa telah menghilangkan diri dan masuk semula ke kawasan hutan bersebelahan ladang sawit.

“Susulan maklumat itu, operasi pencarian ditumpukan di lokasi berkenaan yang melibatkan kawasan hutan seluas kira-kira dua hektar dengan bantuan unit anjing pengesan daripada Pasukan K9 Bomba dan Polis,” katanya lagi.

Beliau berkata, pada Isnin pihak polis menerima laporan daripada abang mangsa selepas menyedari adiknya tiada di rumah selain mendapati pintu belakang rumah terbuka.

Sabarodzi memberitahu, kawasan pencarian ketika itu meliputi jarak kira-kira 700 meter dari rumah mangsa ke kawasan ladang sawit termasuk kawasan berpaya, namun mangsa belum ditemukan sehingga operasi SAR memasuki hari ketiga.

Operasi membabitkan 14 anggota bomba, 30 anggota polis, lapan anggota VAT 69, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 18 orang awam itu ditamatkan pada jam 4.30 petang.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Daflizan Mohd Daud itu membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, BBP Simpang Pulai dan BBP Pasir Puteh. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Lelaki OKU hilang dipercayai masuk ladang kelapa sawit

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI