“Ketidaktentuan sedang melanda PKR” – Razlan

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii. 

Menurut beliau, perkembangan itu mengejutkan kerana ia membabitkan sebuah parti yang sedang menerajui kerajaan, dengan wakil rakyatnya sendiri memilih untuk melepaskan kerusi Parlimen sebelum tempoh penggal berakhir.

“Sudah tentu, ada ketidaktentuan yang sedang melanda parti kerajaan ini. Amat pelik, mereka memilih untuk menamatkan khidmat sebagai wakil rakyat sebelum penggal berakhir dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan berkenaan bukan sekadar membabitkan soal jawatan atau keahlian parti, malah memberikan isyarat serius mengenai keretakan kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan Perdana Menteri itu sendiri.

Katanya, keadaan menjadi lebih kronik apabila bekas ahli Parlimen berkenaan bersepakat mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi mendedahkan apa yang didakwa sebagai sisi gelap, kepincangan dalaman pentadbiran parti dan kerajaan serta kebobrokan tatakelola kerajaan ketika ini.

Mohd Razlan berkata, kerajaan tidak boleh sekadar menepis segala kritikan sebagai serangan politik, sebaliknya perlu mengemukakan bukti sekiranya dakwaan yang dibangkitkan tidak benar.

“Jika dakwaan itu tidak benar, kemukakan bukti untuk menyangkalnya. Jika terdapat kelemahan, akui dan perbetulkan. Rakyat berhak mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Beliau mendakwa, secara moralnya, kerajaan yang diterajui PH sudah hilang kepercayaan bukan sahaja daripada rakyat, malah pimpinan parti sendiri.

“Jika kerajaan yakin masih mendapat kepercayaan rakyat, kembalikan mandat kepada rakyat kerana sudah mencecah empat tahun tempoh penggal ini. Biarlah rakyat membuat keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI