KUALA LUMPUR – Setakat 25 Jun 2026, kelewatan kemajuan Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) adalah 7.55 peratus dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari, menurut Jabatan Audit Negara (JAN).
Dalam kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 hari ini, JAN memaklumkan kelewatan tersebut memberikan risiko kepada Physical Hand Over (PHO) terawal LCS 1 yang dijadualkan pada 26 Ogos 2026 atau sasaran baharu pada 26 Dis 2026.
“Sekiranya PHO dilaksanakan pada kedua-dua tarikh tersebut, LCS 1 akan diserahkan tanpa mencapai keupayaan penuh kerana latihan serta sistem persenjataan masih belum disempurnakan.
“Kesiapsiagaan penuh Projek LCS adalah bergantung kepada Kontrak Pelengkap yang hanya dapat disempurnakan pada Disember 2035, iaitu melangkaui tempoh akhir Kontrak Utama pada 25 April 2030. Kelewatan PHO LCS 1 memberikan kesan kepada tempoh PHO LCS 2 hingga LCS 5,” menurut kenyataan itu.
LKAN 2/206 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025; Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan; Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri serta Aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi Negeri dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
JAN memaklumkan pengauditan dilaksanakan secara interim bertujuan untuk menilai pengurusan Projek LCS dari aspek kemajuan fizikal dan kewangan, pengurusan kontrak serta pembayaran berdasarkan terma kontrak dan peraturan yang berkuat kuasa.
Pengauditan juga mengambil kira syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melalui Laporan PAC Parlimen bertarikh 9 Okt 2023 supaya JAN melaksanakan pengauditan terhadap Projek LCS sebelum penyerahan LCS 1 kepada TLDM serta membentangkan hasil pengauditan tersebut di Parlimen.
JAN memaklumkan bagi memastikan Projek LCS dapat disiapkan dan diserahkan pada tahap kesiapsiagaan yang ditetapkan, Kementerian Pertahanan disyorkan supaya menetapkan pelan tindakan pemulihan yang realistik bagi memastikan semua aktiviti kritikal Kontrak Utama dan Kontrak Pelengkap diselaraskan dengan jadual PHO LCS.
Selain itu, kementerian disyorkan untuk memastikan sebarang penerimaan kapal secara bersyarat dengan menetapkan obligasi, tempoh penyempurnaan dan tanggungjawab kontraktor yang jelas sehingga kapal mencapai keupayaan yang ditetapkan.
Kementerian Pertahanan disyorkan memperkukuh pemantauan kemajuan projek termasuk penetapan pegawai bertanggungjawab dan tempoh penyelesaian bagi setiap isu kritikal sehingga projek berjaya disempurnakan.
— BERNAMA


