PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memberi kebenaran kepada Peguam Negara (AG) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman berhubung keputusan menghentikan 47 pertuduhan jenayah membabitkan Yayasan Akal Budi.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Hashim Hamzah sebulat suara membenarkan kedua-dua permohonan selepas mendapati kes berkenaan membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan penjelasan serta keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.
Hashim berkata, persoalan utama yang perlu diputuskan ialah ambang kebenaran bagi semakan kehakiman apabila kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dicabar.
Menurut beliau, ambang berkenaan perlu diterapkan dengan disiplin, berhati-hati dan penuh batasan khususnya apabila membabitkan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3).
“Kes ini membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam yang memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah ini.
“Oleh itu, pemohon (Peguam Negara dan Ahmad Zahid Hamidi) sudah memenuhi ambang bagi permohonan kebenaran di bawah Seksyen 96A dan 96B Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya.
Beliau bersidang bersama Hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan prosiding kes Yayasan Akal Budi membabitkan Ahmad Zahid.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan Ahmad Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Peguam Negara mahu memberhentikan prosiding terhadapnya.
Susulan itu, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara berkenaan. – MalaysiaGazette


