POLYCC semarak semangat kemanusiaan di Phetchaburi

IPOH – Penglibatan warga politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) dalam aktiviti khidmat masyarakat di luar negara membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan mampu merentasi sempadan.

Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Salmi Che Meh berkata, seramai 22 peserta POLYCC telah menyertai misi khidmat masyarakat di Sekolah Islam Damrongtham, Phetchaburi, Thailand menerusi program berkenaan yang diketui PUO.

Beliau berkata, kunjungan itu bukan sekadar persinggahan dalam perjalanan konvoi motosikal berkuasa besar, sebaliknya dimanfaatkan sebagai platform melaksanakan tanggungjawab sosial dan menyantuni komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti yang memberi manfaat secara langsung kepada warga sekolah.

“Khidmat masyarakat bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi lebih daripada itu, ia adalah tentang kesediaan untuk turun padang, menyumbang tenaga, berkongsi kemahiran dan memberikan manfaat kepada komuniti.

“Saya amat menghargai komitmen delegasi POLYCC yang mengambil peluang ini untuk berbakti kepada warga sekolah di Phetchaburi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pengalaman melaksanakan khidmat masyarakat di luar negara turut memberikan pendedahan bermakna kepada warga POLYCC dalam membentuk nilai empati, kepimpinan, kerja berpasukan dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Katanya, selain melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat, delegasi turut berpeluang berinteraksi dengan para pelajar dan anak-anak yatim di Sekolah Islam Damrongtham, sekali gus mengeratkan hubungan persahabatan serta pertukaran budaya antara warga Malaysia dan Thailand.

“Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah penanaman pokok sebagai tanda kenang-kenangan dan usaha menghijaukan persekitaran sekolah, selain gotong-royong membersihkan serta menceriakan kawasan sekolah dan menyusun atur semula bilik kuliah,” katanya.

Misi khidmat masyarakat itu turut diserikan dengan penyerahan sumbangan sebanyak 33,000 baht oleh Pengarah Program, Ts. Khairul Anuar Idris, kepada pengasas Sekolah Islam Damrongtham, Prasan Boonsong, bagi membantu kebajikan dan keperluan para pelajar. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI