Inovasi perlu diberi peluang diuji, dikembangkan selepas konvensyen – Saarani

IPOH – Inovasi yang dihasilkan menerusi Konvensyen Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak 2026  tidak seharusnya terhenti selepas pertandingan berakhir, sebaliknya perlu diberi ruang untuk diuji dan dikembangkan sekiranya terbukti berkesan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan hasil usaha, kepakaran dan tenaga yang dicurahkan oleh para inovator dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat serta meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan.

“Kalau boleh, saya tidak mahu idea yang baik berakhir apabila pertandingan selesai atau selepas sijil dan hadiah disampaikan.

“Untuk menghasilkan manfaat seperti itu, perjalanan sebuah inovasi perlu diteruskan selepas prototaip berjaya dibina. Ia perlu diuji dalam keadaan sebenar, diperbaiki berdasarkan pengalaman pengguna dan dinilai sama ada benar-benar mampu menyelesaikan masalah.”

“Kita sudah meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk menghasilkan­nya. Jika terbukti berkesan, usaha itu wajar diberikan peluang untuk berkembang. Lebih-lebih lagi apabila penyelesaiannya boleh membantu rakyat dan memperbaiki perkhidmatan kerajaan.

“Oleh itu, saya berharap urus setia bersama jabatan dan agensi berkaitan dapat mengenal pasti inovasi dalam konvensyen ini yang sesuai dibawa ke peringkat percubaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucao pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim

Inovasi perlu diberi peluang diuji, dikembangkan selepas konvensyen - Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Inovasi Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 OKTOBER 2026.

Saarani berkata, bagi inovasi yang mempunyai potensi komersial, aspek keperluan pasaran juga perlu diberi perhatian sejak peringkat awal bagi memastikan hasil ciptaan mempunyai laluan yang jelas untuk dikembangkan.

“Kita dapat melihat usaha menghubungkan idea dengan pengguna dan industri melalui National Innovation and Commercialisation Expo atau NICE 2026.

“Penganjurannya merekodkan 23 pelancaran produk baharu dan 256 sesi padanan perniagaan. Pertemuan seperti ini membuka laluan kepada penyelidik dan inovator untuk mendapatkan maklum balas, membina kerjasama serta membawa hasil mereka kepada pasaran,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, aspek perlindungan harta intelek perlu diberi perhatian supaya pencipta memahami hak dan kepentingan mengurus hasil inovasi masing-masing.

“Pengisian MyIPO (Perbadanan Harta Intelek Malaysia) Insight dalam konvensyen ini juga penting. Pencipta perlu memahami perlindungan harta intelek, termasuk paten, hak cipta, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian.”

“Pengetahuan ini membantu mereka mengurus hasil ciptaan dengan lebih teratur serta melindungi hak apabila membina kerjasama dengan pihak lain.

“Namun, laluan daripada idea kepada penggunaan memerlukan sokongan. Ada inovator yang mempunyai penyelesaian, tetapi belum mendapat tempat untuk mengujinya.

“Ada yang memerlukan kepakaran tambahan, rakan industri atau jabatan yang bersedia menjadi pengguna pertama. Di sinilah kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, penyelidik, industri dan usahawan perlu benar-benar berfungsi,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

‘CalClean’ inovasi teknologi kitar semula sisa kapur karbida jadi produk mesra alam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI