KUALA LUMPUR – Sebarang pertindihan bidang kuasa antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan diselaraskan mengikut mandat yang ditetapkan di bawah undang-undang masing-masing.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setiap agensi mempunyai bidang kuasa tersendiri dan akan bekerjasama sekiranya sesuatu kes melibatkan lebih daripada satu rejim perundangan.
Katanya, SSM bertanggungjawab terhadap aspek penubuhan, pentadbiran dan pematuhan korporat syarikat, manakala SC mengawal selia aktiviti, produk dan perkhidmatan pasaran modal serta perlindungan pelabur.
“Yang penting kita ingat kedua-dua agensi regulatory yang ada dalam negara ini pun punya mandat masing-masing.
“SSM mengawal selia syarikat-syarikat yang ada dalam negara dan daripada segi SC, dia mengawal selia dari segi pelaburan dalam pasaran saham yang ada di Malaysia,” katanya dalam sesi peetanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai dakwaan SC melangkaui bidang kuasanya dengan mengambil tindakan terhadap syarikat di bawah seliaan SSM.
Amir Hamzah berkata, sekiranya terdapat kawasan pertindihan ketika sesuatu perkara disiasat, agensi terbabit akan menentukan bidang kuasa masing-masing dan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ditetapkan Parlimen.
“Jadi tak benar yang SC menjangkau luar daripada mandat statutori,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menentukan sempadan bidang kuasa setiap agensi berdasarkan mandat yang diperuntukkan di bawah undang-undang masing-masing bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan penguatkuasaan.
Katanya, penyelarasan antara agensi dilaksanakan melalui perkongsian maklumat, rujukan kes yang mempunyai elemen di bawah bidang kuasa masing-masing serta perbincangan di peringkat pegawai dan pengurusan.
Menurutnya, kerjasama itu turut melibatkan platform penyelarasan nasional seperti Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), selain memorandum persefahaman antara agensi.
“Prinsip yang diamalkan oleh kerajaan adalah jelas, iaitu setiap agensi melaksanakan tanggungjawab dalam lingkungan kuasa yang diberikan oleh Parlimen.
“Manakala isu yang merentasi lebih daripada satu rejim perundangan ditangani melalui kerjasama dan penyelarasan antara agensi demi melindungi kepentingan awam, pelabur dan integriti pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerjasama antara SC dan agensi berkaitan pada 2024 dan 2025 berjaya menyekat serta menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon yang dikaitkan dengan penipuan kewangan dan skim pelaburan palsu. – MalaysiaGazette


