KUALA LUMPUR – Kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) meningkat hampir 60 peratus kepada 5,613 kes antara 4 hingga 10 Oktober (minggu epidemiologi ke-40) susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu yang melanda negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes URTI itu menyaksikan lonjakan 167 peratus kepada 7,065 kes berbanding pada 6 hingga 12 September (minggu epidemiologi ke-36).
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut merekodkan peningkatan kes asma dan konjunktivitis atau radang mata dalam tempoh pemantauan berkenaan.
“Pada minggu epidemiologi ke-36, kes URTI meningkat 167 peratus kepada 7,065 kes, asma meningkat 127 peratus kepada 1,117 kes dan konjunktivitis meningkat 83 peratus kepada 334 kes.
“Pada minggu epidemiologi ke-40, peningkatan turut direkodkan iaitu hampir 60 peratus bagi URTI kepada 5,613 kes dan yang lain,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dzulkefly berkata, KKM meningkatkan pemantauan menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) susulan kemerosotan kualiti udara, selain mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan pada 4 September lalu.
Katanya, langkah itu bertujuan memperkukuh pemantauan situasi dan penyelarasan respons kesihatan awam bagi menghadapi kesan jerebu terhadap masyarakat.
Mengulas kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, beliau berkata, KKM menambah bekalan peralatan perubatan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan pesakit yang mengalami masalah kesihatan berkaitan jerebu.
“Antara lain, menambah 841 unit AeroChamber untuk dewasa, 396 unit untuk kanak-kanak serta 556 unit nebuliser bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes,” katanya.
Beliau berkata, KKM juga bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam perkongsian maklumat kualiti udara bagi menyokong penilaian risiko dan tindakan kesihatan awam.
Kerjasama itu penting bagi membolehkan langkah pencegahan dan nasihat kesihatan disampaikan kepada orang ramai berdasarkan keadaan kualiti udara semasa. – MalaysiaGazette


