IPOH – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Perak Society For The Promotion Of Mental Health (PSPMH), di sini pada Jumaat.
Baginda tiba di Royal Perak Golf Club (RPGC) sekitar jam 8.15 malam dengan disambut isteri kepada Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI).
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengerusi PSPMH, Nasir Ismail.

Acara dimulakan dengan persembahan oleh residen PSPMH yang sedang menjalani program rehabilitasi.
Persembahan penuh makna itu membuktikan bahawa setiap insan mempunyai potensi untuk berkembang dan setiap bakat wajar diberi ruang dan setiap usaha, sekecil mana pun amat bermakna serta layak diraikan.
Baginda kemudiannya berkenan memotong kek Sambutan Ulang Tahun Ke-60 PSPMH sebelum majlis diteruskan dengan sembah ucapan Pengerusi PSMPH.

Nasir dalam sembah ucapannya berkata perjalanan PSPMH selama enam dekad merupakan pencapaian yang amat bermakna, dan menjadi bukti kepada usaha yang berterusan serta komitmen yang tidak pernah luntur dalam memperjuangkan kesejahteraan dan kesihatan mental.
Beliau berkata,PSPMH bermula daripada sebuah klinik yang sederhana di Clarke Street, dan ditadbir oleh Rotary Club of Ipoh dengan sokongan 80 orang ahli pengasas.
“Daripada permulaan yang sederhana, pusat ini terus berkembang dan pada hari ini telah menjadi antara institusi pemulihan mental yang terbaik pengurusannya di negeri dan negara ini,” katanya. -MG Perak


