BAGAN DATUK – Malaysia akan meneruskan sebarang bentuk bantuan kepada Indonesia dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu, dengan Malaysia akan terus memberikan bantuan sebaik mungkin bagi membantu Indonesia menangani situasi berkenaan.
Menurutnya, Indonesia telah menggerakkan lebih 19,000 anggota serta sejumlah besar aset termasuk kapal terbang dan helikopter bagi menangani masalah jerebu itu.
“Tetapi ada permasalahan kerana pesawat terbang tidak dapat terbang kerana jarak penglihatan it terlalu dekat.
“Mereka juga tidak dapat melakukan pembenihan hujan sebab tidak ada awan di situ, jadi, kita bersimpati dengan keadaan mereka.
“Bagaimanapun, kita masih mengharapkan supaya masalah ini dapat diselesaikan kerana ia mengakibatkan negara-negara jiran terutamanya Malaysia.
“Selain itu, jerebu juga boleh menjejaskan kesihatan penduduk Malaysia terutama mereka yang mempunyai masalah alahan dan sensitif terhadap pencemaran udara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk di Tapak Pasar Malam Bagan Datuk di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau turut mengadakan perbincangan secara langsung dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka berhubung isu berkenaan.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Prabowo sendiri dan juga Naib Presiden Gibran, dan mereka memberikan respons yang baik,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


