IPOH: Lebih 1,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan Pesta Budaya Nusantara 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini baru-baru ini.
Program anjuran bersama People Of Remarkable Talents (PORT) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu diadakan bersempena Ipoh Music Symposium kali kelapan bagi memperkasa seni dan budaya.
MBI dalam satu kenyataan berkata penganjuran Ipoh Music Symposium turut bertujuan meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap kepelbagaian warisan budaya Nusantara.

“Pesta Budaya Nusantara 2026 menampilkan 10 persembahan utama yang menggabungkan bakat penggiat seni tempatan, peserta antarabangsa dan artis tanah air.
“Kepelbagaian persembahan itu menjadi antara tarikan utama program berkenaan dalam mengetengahkan keunikan seni dan budaya Nusantara kepada masyarakat,” katanya.
MBI berkata, penganjuran program seumpama itu diharap dapat memperkukuh interaksi silang budaya, di samping mengangkat Ipoh sebagai destinasi seni dan muzik yang berdaya tarikan serta menarik minat pengunjung tempatan dan antarabangsa. -MG Perak


