Pemimpin AMAR IPMa diseru jadi ejen integriti di kampus

LENGGONG – Pemimpin Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di 55 Institusi Pendidikan MARA (IPMa) diseru memainkan peranan aktif sebagai ejen pembudayaan integriti dan antirasuah, khususnya dalam kalangan komuniti kampus masing-masing.

Timbalan Ketua Unit Integriti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ahmad Zuriat Ahmad Tejuddin berkata, mahasiswa IPMa merupakan generasi pelapis yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, penerapan idealisme serta penghayatan nilai integriti sejak di bangku pengajian merupakan platform terbaik untuk membentuk jati diri yang kukuh sebelum mahasiswa melangkah ke alam industri dan pekerjaan.

“Mahasiswa perlu menjadikan integriti sebagai pegangan dalam kehidupan seharian, sekali gus berperanan menyebarkan kesedaran mengenai bahaya rasuah dalam komuniti kampus masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Integriti AMAR IPMa Siri 2 2026 di Pusat Kepimpinan Pelajar MARA (Puskep), di sini, baru-baru ini.

Program selama tiga hari bermula 23 Oktober itu dianjurkan Unit Integriti MARA dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Zuriat berkata, kem berkenaan menghimpunkan 93 pemimpin AMAR daripada 14 IPMa di wilayah Timur dan Utara bagi memperkukuh kefahaman mengenai integriti, kepimpinan dan usaha pencegahan rasuah.

“Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian advokasi antirasuah dan modul kepimpinan, selain menyertai aktiviti luar seperti berbasikal dan berkayak yang menguji ketahanan fizikal serta daya tahan diri,” katanya.

Penganjuran kem itu diharap dapat melahirkan pemimpin mahasiswa yang berintegriti, berprinsip dan mampu menjadi penggerak budaya antirasuah, sekali gus menyokong usaha membina generasi muda yang menolak rasuah dalam kehidupan dan kerjaya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI