IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak memperkukuh pendekatan pendidikan antirasuah dalam kalangan golongan belia menerusi penggunaan teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan usaha membanteras rasuah lebih dekat dengan minat generasi muda.
Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi berkata, golongan muda adalah pewaris negara yang perlu dilibatkan secara aktif dalam usaha membudayakan integriti dan menolak rasuah, meskipun kaedah pendekatan terhadap mereka perlu disesuaikan dengan perubahan zaman.
“Perkara tersebut berlaku di ibu pejabat kita dan di negeri-negeri turut melaksanakan perkara yang sama seperti program-program dengan pelajar universiti terutamanya Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) dan Wira Antirasuah (WAR).
“Program-program seumpama tersebut memang dari dari saban bulan, saban tahun kita teruskan dengan pengisian-pengisian yang saya rasakan lebih dekat dengan generasi muda pada masa sekarang.
“Mungkin kita dari segi pendekatan antirasuah itu perlu dipertingkatkan dari segi IT, AI yang mana generasi sekarang lebih tertarik dengan perkara-perkara tersebut.
“Itu antara perkara di Perak ini sedang fokuskan dan kita sedang terus membangunkannya bagi mencapai tujuan serta strategi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Bicara Santai SPRM dan Media: Isu, Cabaran dan Persepsi pada Sesi Dialog bersama Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) sempena Program Santai Media bersama Pengarah SPRM Perak di Pejabat SPRM Perak, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff dan Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Syed Idris.
Sementara itu, Hisyam berkata, pendekatan mendekati golongan belia perlu mengambil kira minat dan kecenderungan mereka bagi memastikan mesej antirasuah dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Beliau turut menggalakkan pengamal media berkongsi idea serta cadangan mengenai kaedah baharu untuk mendekati golongan muda, memandangkan media mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat.
“Kalau pihak media boleh membantu kami, membantu SPRM dalam kaedah pendekatan yang baharu. Mungkin pihak media ada idea, mungkin pihak media ada cadangan bagaimana kita nak mendekati masyarakat golongan muda ni.
“Sebab pihak media dia orang kata bersama dengan rakyat, bersama dengan masyarakat. Jadi, input-input sebegitulah yang sebenarnya kami perlukan supaya kami dapat menyesuaikan tindakan dan juga perancangan kami,” ujarnya.
Beliau berkata, maklum balas daripada pihak media penting bagi membantu SPRM menyesuaikan strategi komunikasi dan perancangan program antirasuah agar lebih relevan dengan keperluan serta minat golongan belia. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SPRM tubuh pasukan khas teliti semula dakwaan rasuah RM350,000 babit pegawai kanan


