Bermula dengan kereta Kancil, kini miliki kafe sendiri

KAMPAR – Bermula dengan sebuah kereta Kancil yang dijadikan tempat menjual kopi, Muhammad Ruzairin Rezali, 37, membuktikan keberanian mencuba dan kesungguhan membina perniagaan mampu membuka jalan kepada peluang yang lebih besar.

Tidak seperti kebanyakan pengusaha kafe yang memulakan perniagaan dengan premis tetap, anak jati Air Kuning itu memilih pendekatan berbeza apabila menjadikan kereta kecilnya sebagai tapak pertama untuk memperkenalkan kopi kepada pelanggan.

Bagi pemilik P’Kopi ini, langkah berkenaan bukan sekadar usaha mencari pendapatan, sebaliknya titik permulaan untuk menterjemahkan minat dalam bidang perniagaan kepada sesuatu yang lebih serius.

Perjalanan itu bagaimanapun bukan mudah kerana beliau perlu meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan automotif yang diceburinya selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Pengalaman bekerja memberikannya pendedahan terhadap aspek pengurusan dan pengetahuan teknikal, namun minat terhadap perniagaan yang dipupuk sejak kecil terus mendorongnya mencari peluang untuk membina sesuatu miliknya sendiri.

Muhammad Ruzairin Rezali, 37, memilih meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan automotif pada 2021 untuk mengusahakan perniagaan kopi miliknya. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2026.

Menurut beliau, minat itu bukan muncul secara tiba-tiba kerana kedua-dua ibu bapanya merupakan pengusaha katering dan makanan dan dia sudah biasa mengikuti orang tuanya membeli barangan di pasar serta melihat sendiri proses menyediakan makanan untuk pelanggan.

“Bermula untuk berniaga ini mungkin azali daripada ibu bapa sayalah kerana arwah ibu dan arwah ayah memang peniaga mereka merupakan pengusaha kantin.

“Jadi minat memasak dan asas itu datang daripada mereka kerana macam-macam saya buat seperti sambal dan goreng-goreng dari kecil termasuk membeli barang di pasar,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.

Katanya, pengalaman berkenaan secara tidak langsung membentuk minatnya terhadap dunia makanan dan minuman, meskipun laluan kerjaya yang dipilih selepas tamat pengajian lebih tertumpu kepada bidang teknikal.

Sepanjang bekerja sebagai jurutera, Ruzairin turut mencuba beberapa jenis perniagaan termasuk sistem jualan secara dropship, namun pandemik COVID-19 menjadi antara titik perubahan yang mendorongnya memberikan perhatian lebih serius kepada minat perniagaan berasaskan makanan dan minuman.

“Ketika itu, kopi menjadi pilihan untuk menghilangkan tekanan selepas bekerja dan tanpa sedar ia mula menarik minat saya untuk mempelajari sendiri cara penyediaannya.

“Saya meluangkan masa berlatih menyediakan kopi di rumah setiap hari sehingga memperoleh keyakinan untuk mencuba menjadikannya sebagai sumber pendapatan” katanya.

Pemilik PKopi, Muhammad Ruzairin Rezali mengambil keputusan meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan automotif pada 2021 untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kopi yang diusahakannya. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2026.

Selepas meneliti peluang yang ada dan berbincang dengan isteri, Ruzairin akhirnya mengambil keputusan untuk menceburi perniagaan makanan dan minuman secara sepenuh masa pada 2021.

Langkah pertama dimulakan dengan konsep kopi bergerak menggunakan kereta Kancil di sekitar Kampar dan kawasan berdekatan, termasuk mencari lokasi yang sesuai untuk menguji penerimaan pelanggan.

“Mula-mula memang malu kerana daripada bekerja sebagai jurutera, tiba-tiba kita berniaga di tepi jalan. Tetapi saya cuba juga kerana mahu melihat sama ada kopi yang saya sediakan mendapat sambutan atau tidak.

“Pada masa sama saya juga mencari lokasi sesuai dan Alhamdulillah penerimaan dari pelanggan amat baik dan dalam tiga ke empat bulan orang sudah mula mengenali kita,” katanya.

Buka kafe PKopi gabung elemen moden, klasik

Pada peringkat awal, Ruzairin menggunakan tempoh kira-kira tiga hingga empat bulan untuk mengenali pelanggan, mengumpulkan maklum balas dan membina kelompok pelanggan tetap.

Beliau berkata, usaha itu membuahkan hasil apabila kopi yang dijual mula mendapat perhatian, sekali gus memberikan keyakinan kepadanya untuk mengembangkan perniagaan daripada konsep bergerak kepada sebuah premis kecil.

Selepas kira-kira setahun mengumpulkan pelanggan, peluang membuka kedai di sebuah bangunan berhampiran Maybank di Kampar hadir.

Walaupun ruang perniagaan itu masih kecil, Ruzairin melihatnya sebagai peluang untuk membawa perniagaan ke tahap seterusnya.

Pemilik PKopi, Muhammad Ruzairin Rezali mengambil keputusan meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan automotif pada 2021 untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kopi yang diusahakannya. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2026.

Dari situ, beliau mula membina identiti kafe yang menggabungkan elemen moden dan klasik, bersesuaian dengan karakter bangunan yang menempatkan premis berkenaan.

Bagi Ruzairin, elemen klasik tidak seharusnya dihapuskan semata-mata untuk menjadikan sesebuah kafe kelihatan moden.

Sebaliknya, gabungan kedua-dua konsep itu diharapkan dapat mewujudkan suasana tersendiri yang memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan.

Dari segi menu pula, perniagaan yang pada awalnya memberi tumpuan kepada kopi berkembang secara berperingkat dengan penambahan pastri, donat dan pelbagai pilihan makanan.

Antara perubahan penting ialah keputusan memperkenalkan nasi lemak kira-kira enam bulan selepas memulakan operasi kafe.

Di luar jangkaan, nasi lemak mendapat sambutan sehingga menjadi antara pilihan utama pelanggan.

“Pernah juga saya cuba tidak menjual nasi lemak untuk melihat penerimaan pasaran. Tetapi pelanggan mula bertanya dan ada yang bising apabila kita tidak menyediakannya. Dari situ, saya tahu nasi lemak memang sudah menjadi antara pilihan utama mereka,” katanya.

Scone coklat antara hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di PKopi, Jalan Gopeng, Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2026.

Selain kopi dan nasi lemak, kafe itu turut menawarkan makanan lain termasuk burger serta beberapa menu tambahan yang disesuaikan mengikut permintaan pelanggan.

Kini, perniagaan berkenaan mempunyai kira-kira 50 pilihan menu, merangkumi makanan dan minuman yang dibangunkan secara berperingkat berdasarkan sambutan pasaran.

Terima sokongan, bantuan dari agensi kerajaan negeri

Dari segi sokongan, beliau menghargai peranan Majlis Daerah Kampar yang membantu mempromosikan kafenya, termasuk melalui aktiviti pemasaran dan penyertaan dalam program tertentu.

Beliau turut menerima bantuan menerusi program berkaitan keusahawanan kerajaan negeri, termasuk inisiatif daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Digital Perak.

Ruzairin berkata meskipun bantuan yang diterima tidak besar dari segi nilai, ia tetap amat bermakna kerana dapat membantu usahawan yang sedang membina asas perniagaan sepertinya untuk kekal dalam perniagaan.

Pemilik PKopi, Muhammad Ruzairin Rezali mengambil keputusan meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan automotif pada 2021 untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kopi yang diusahakannya. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2026.

“Alhamdulillahlah kalau dekat Kampar ni, Majlis Daerah Kampar banyak memberi sokongan kepada kafe saya dengan mempromosikan PKopi termasuklah dalam program mereka dan lain-lain.

“Kemudian dalam segi bantuan kewangan atau peralatan kerajaan negeri  melalui agensinya seperti STeP dan Digital Perak turut membantu kami di mana saya mohon kemudian dipanggil ‘interview’ dan Alhamdulillah kita dapat menerima bantuan dari mereka,” katanya.

Tambahnya, pengalaman yang dilaluinya itu menguatkan keyakinannya bahawa usahawan baharu perlu berani mendapatkan bimbingan, memanfaatkan peluang latihan dan membina jaringan dengan agensi yang dapat membantu perkembangan perniagaan.

Bagi anak jati Air Kuning itu, nasihat paling penting kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan adalah memahami sebab sebenar mereka memilih jalan tersebut.

“Jangan berniaga separuh jalan. Kita kena tahu kenapa kita mahu berniaga dan jangan masuk bidang ini semata-mata kerana fikir ia menyeronokkan. Berniaga memerlukan wang, tenaga dan masa, jadi kita kena bersedia menghadapi cabarannya,” katanya.

Beliau percaya kesungguhan sahaja tidak mencukupi tanpa disiplin, kesediaan belajar dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran ini kerana daripada sebuah kereta Kancil yang digunakan untuk menjual kopi, Ruzairin kini mempunyai asas perniagaan yang mahu terus diperkukuh sebelum melangkah ke fasa pengembangan seterusnya.

Antara hidangan makanan dan minuman yang ditawarkan kepada pelanggan ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di PKopi, Jalan Gopeng, Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2026.

Perjalanannya memperlihatkan bahawa kejayaan membina perniagaan tidak semestinya bermula dengan premis besar atau modal yang tinggi, sebaliknya boleh tumbuh daripada langkah kecil, keberanian mencuba dan kesanggupan belajar daripada pengalaman.

Bagi Ruzairin, matlamatnya ketika ini bukan sekadar menambah cawangan, tetapi memastikan perniagaan yang dibina di Kampar mempunyai identiti tersendiri, dipercayai pelanggan dan mampu bertahan dalam jangka panjang.

Usaha itu seiring dengan aspirasi pembangunan keusahawanan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, yang antara lain memberi penekanan kepada pengukuhan ekonomi rakyat dan pemerkasaan usahawan tempatan supaya lebih berdaya saing serta mampu menjana pendapatan secara mampan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI