Median upah pekerja formal naik 4.8 peratus kepada RM3,000

KUALA LUMPUR – Median upah bulanan pekerja sektor formal di Malaysia meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun kepada RM3,000 pada Jun 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, bilangan pekerja formal warganegara turut meningkat 3.3 peratus kepada 7.20 juta orang pada Jun 2026 berbanding 6.97 juta orang pada Jun 2025.

Menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), Suku Tahun Kedua 2026, pekerja lelaki mencatatkan median upah bulanan RM3,000, manakala pekerja perempuan menerima RM2,964.

Pekerja lelaki merangkumi 55.1 peratus atau 3.97 juta daripada keseluruhan pekerja formal warganegara, sementara pekerja perempuan mewakili 44.9 peratus atau 3.23 juta orang.

Mengikut kumpulan umur, pekerja berusia 45 hingga 49 tahun mencatatkan median upah bulanan tertinggi sepanjang suku kedua 2026, iaitu RM4,000 pada April dan RM3,945 pada Mei serta Jun.

Peningkatan median upah bulanan tahun ke tahun tertinggi pula direkodkan dalam kalangan pekerja berusia 50 hingga 54 tahun.

Bagaimanapun, median upah bulanan pekerja berumur bawah 20 tahun kekal RM1,700 sejak Februari 2025.

Berdasarkan aktiviti ekonomi, sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,722 pada Jun 2026, meskipun hanya merangkumi 0.5 peratus daripada jumlah pekerja formal.

Sebaliknya, sektor pertanian mencatatkan median upah bulanan terendah sebanyak RM2,282, dengan sektor itu menyumbang 1.8 peratus daripada keseluruhan pekerja formal.

Dari segi negeri, Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM4,245, diikuti Selangor (RM3,245) dan Pulau Pinang (RM3,000).

Kelantan pula merekodkan median upah bulanan terendah sebanyak RM1,827, diikuti Perlis (RM1,864) dan Sabah (RM2,045).

DOSM turut melaporkan peratus pekerja formal warganegara yang menerima upah bulanan di bawah RM1,700 menurun kepada 8.2 peratus pada Jun 2026 berbanding 10.4 peratus pada Jun 2025, iaitu pengurangan sebanyak 2.2 mata peratusan.

Analisis persentil menunjukkan 10 peratus pekerja formal dengan upah terendah menerima RM1,700 atau kurang sebulan, manakala 10 peratus pekerja dengan upah tertinggi menerima sekurang-kurangnya RM9,600 sebulan.

Perbezaan itu menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima upah lebih lima kali ganda berbanding kumpulan upah terendah, sekali gus menggambarkan jurang upah dalam kalangan pekerja formal.

Secara keseluruhan, DOSM menyifatkan pasaran buruh formal Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan pada suku kedua 2026, disokong pertumbuhan berterusan bilangan pekerja formal serta median upah bulanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI