IPOH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kepada dua wartawan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai, Menglembu di sini, pagi semalam.
Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Shuhaimi Mohamed kepada wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, di kediaman mereka masing-masing di Semenyih, Selangor dan di Medan Klebang Harmoni 2, Chemor di sini, hari ini.
Menurutnya, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib yang menimpa kedua-dua wartawan berkenaan.
“Semoga Nur Afiradina dan Zahratulhayat cepat sembuh dan kembali dapat bertugas kerana mereka bukan sahaja membuat liputan di Bagan Datuk, tetapi untuk Perak keseluruhannya.
“Terima kasih juga kepada rakan-rakan wartawan di Ipoh yang sentiasa berada dekat dengan mereka ketika mereka berdepan keadaan sukar ini,” katanya selepas menziarahi Zahratulhayat di kediamannya Medan Klebang Harmoni 2, Chemor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berharap Nur Afiradina tabah menghadapi ujian selepas kenderaannya mengalami kerosakan teruk sehingga diisytiharkan musnah sepenuhnya akibat kemalangan itu.
Dalam pada itu, Shuhaimi berkata, aspek keselamatan jalan raya perlu sentiasa diberikan perhatian oleh semua pihak, termasuk pengamal media yang kerap bergerak ke lokasi bagi membuat liputan.
Katanya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya sering mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya.
“Kadang-kadang bukan kita yang menjadi punca, tetapi orang lain yang menjadi punca kemalangan kepada kita. Jadi, ambillah cakna tentang keselamatan, persekitaran, keadaan jalan raya dan keadaan gelap. Semua perkara itu perlu diberikan perhatian demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.
Semalam media melaporkan, kedua-dua wartawan terbabit cedera selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori sekitar jam 5.45 pagi ketika dalam perjalanan untuk membuat liputan program membabitkan Ahmad Zahid di Bagan Datuk.
Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


