KUALA LUMPUR – Lapangan terbang Subang, Ipoh dan Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan trafik penumpang antarabangsa tahun ke tahun pada September 2026 walaupun terdapat penurunan pergerakan penumpang secara keseluruhan di rangkaian lapangan terbang tempatan yang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Menurut MAHB dalam kenyataan hari ini, rangkaian lapangan terbangnya di Malaysia mengendalikan 7.8 juta penumpang pada bulan berkenaan, menyusut 12 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
MAHB memaklumkan trafik antarabangsa pula merosot 2.2 peratus kepada 4.3 juta penumpang, pergerakan domestik berkurangan 21.8 peratus kepada 3.4 juta penumpang manakala tiga lapangan terbang serantau itu mencatatkan peningkatan trafik antarabangsa.
“Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang merekodkan 59,000 pergerakan penumpang antarabangsa, meningkat 24.1 peratus tahun ke tahun manakala Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh mencatatkan 31,000 penumpang, dengan peningkatan 16.6 peratus.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan trafik antarabangsa sebanyak 5.3 peratus kepada 348,000 penumpang, merangkumi kira-kira 57 peratus daripada jumlah pergerakan penumpangnya pada September,” menurut kenyataan itu.
Menurut MAHB Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu mengendalikan 5,000 penumpang antarabangsa pada September berikutan perkhidmatan penerbangan antarabangsa baharu yang diperkenalkan pada Jun.
“Terminal lapangan terbang itu yang diperluas dan dibuka pada April telah meningkatkan kapasiti pengendalian tahunannya daripada 1.5 juta kepada 4.0 juta penumpang,” menurutnya.
Sementara itu, MAHB memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan kira-kira 4.9 juta penumpang pada September.
“Rangkaian penerbangan antarabangsanya berkembang apabila Sun PhuQuoc Airways memulakan perkhidmatan ke Phu Quoc pada 1 September manakala Gulf Air memperkenalkan penerbangan terus dari Bahrain pada 30 September, sekali gus menjadi syarikat penerbangan Asia Barat ke-10 yang beroperasi di KLIA,” menurut kenyataan itu.
Menurut MAHB operasi domestiknya mengendalikan 75.2 juta penumpang dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, menurun 2.4 peratus tahun ke tahun manakala trafik penumpang antarabangsa meningkat 4.5 peratus kepada 41.3 juta.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani dalam kenyataan sama berkata prestasi itu menonjolkan kepentingan untuk memperkukuh kesalinghubungan penerbangan serantau dan pada masa sama mengekalkan perkhidmatan lapangan terbang yang boleh dipercayai.
“Lapangan terbang seperti Subang, Ipoh dan Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam memperluas kesalinghubungan penerbangan antarabangsa Malaysia.
“Kami mahu memanfaatkan momentum ini dengan bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan pelancongan untuk membangunkan laluan yang membuka lebih banyak peluang perjalanan dan menyokong matlamat pelancongan negara,” katanya.
Mohd Izani berkata, pengembangan rangkaian penerbangan perlu dilaksanakan seiring dengan usaha meningkatkan pengalaman penumpang.
Menurut MAHB, berdasarkan Laporan Prestasi Bulanan KLIA bagi September, tahap kepuasan penumpang mencapai 98.8 peratus di Terminal 1 dan 99.4 peratus di Terminal 2 manakala tahap kepuasan terhadap kebersihan terminal melebihi 99 peratus di kedua-dua terminal.
“Laporan bulanan itu akan memberikan gambaran prestasi yang konsisten meliputi aspek utama pengalaman penumpang dan membantu mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan perkhidmatan di kedua-dua terminal,” menurutnya. – BERNAMA


