IPOH – Berbekalkan minat untuk berkebun, seorang bekas konsultan mekanikal dan elektrikal nekad beralih ke bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman bendi di atas tanah seluas 1.6 hektar di Lahat, di sini, sejak tiga tahun lalu.
Keputusan Rizal Noorhan, 53, membuahkan hasil apabila tanaman bendi yang diusahakannya diiktiraf dan berjaya meraih tempat pertama dalam Pertandingan Hasil Ladang Terbaik Negeri Perak Kategori Sayur-Sayuran sempena Perak Agrofest 2025.
Menurutnya, penglibatannya dalam pertanian bermula dengan mengusahakan kebun bersama keluarga sebelum mendapat bimbingan Jabatan Pertanian bagi menangani masalah tanaman yang dihadapinya.
“Selepas beberapa bulan, apabila saya menghadapi masalah pokok dan saya perlu bertanya kepada orang yang pakar. Di Malaysia, pihak yang pakar ialah Jabatan Pertanian.
“Bermula daripada situ, Jabatan Pertanian membimbing saya dari segi teknikal dan memberikan pelbagai jenis bantuan yang diperlukan sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak) di kebunnya di Lahat di sini hari ini.

Katanya, keputusan berpindah ke lokasi kebun semasa dibuat selepas mendapat tawaran sewa tanah yang lebih berpatutan, dengan kawasan lebih luas dan sumber air yang mudah diperoleh.
Bagaimanapun, dia berkata, kawasan kebun berkenaan masih dalam proses pembangunan apabila hanya satu perempat daripada keseluruhan tanah diusahakan manakala bakinya disasarkan untuk dibuka sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.
Bendi bersifat lasak
Bapa kepada empat orang anak ini memilih bendi sebagai tanaman utama kerana sifatnya yang lasak, mudah diusahakan dan mampu memberikan hasil dalam tempoh singkat berbanding beberapa jenis sayuran lain.
“Bendi ini lasak. Orang yang tidak pandai seperti saya, pilihan pertama ialah bendi. Selepas beberapa tahun belajar pertanian, mungkin saya akan beralih kepada tanaman lain yang lebih bernilai atau yang saya tahu cara menanamnya. Namun, pada peringkat permulaan, bendi paling mudah untuk saya usahakan.

“Dalam tempoh 40 hingga 45 hari selepas ditanam, bendi sudah mendatangkan hasil. Jadi, pekebun boleh memperoleh pendapatan untuk menampung kos operasi. Tanaman lain ada yang mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum mengeluarkan hasil.
“Tanaman itu juga mempunyai permintaan pasaran yang berterusan walaupun harga jualannya tidak semestinya tinggi, berbanding sesetengah sayuran lain yang bergantung kepada kuantiti permintaan pembeli.
“Ketika pengeluaran berada pada tahap optimum, kebun berkenaan mampu menghasilkan antara 80 hingga 100 kilogram bendi sehari, dengan hasil dipetik setiap hari sebelum dipasarkan kepada peraih yang membekalkan sayur-sayuran kepada peruncit sekitar Ipoh.
“Bagaimanapun, pengeluaran semasa menurun kepada sekitar 30 hingga 50 kilogram sehari berikutan sebahagian tanaman telah mencapai tempoh untuk ditanam semula, selain terdapat plot baharu yang masih dalam proses pengeluaran,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Rizal memaklumkan dia menerima beberapa pengiktirafan daripada tanaman bendi itu yang dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus mengembangkan perusahaan tanamannya.

Dia pernah menyertai pertandingan hasil pertanian terbaik kategori bendi di peringkat daerah Kinta dan memperoleh tempat kedua sebelum meraih tempat pertama dalam pertandingan peringkat negeri Perak pada tahun yang sama.
“Alhamdulillah, saya rasa usaha yang saya lakukan berbaloi dan dinilai oleh jabatan. Apabila mereka mengiktiraf bendi yang saya hasilkan sebagai yang terbaik, saya berasa sedikit bangga. Usaha yang saya lakukan akhirnya membuahkan kejayaan,” katanya.
Buat perancangan teliti sebelum menceburi bidang pertanian
Mengulas cabaran sepanjang mengusahakan kebun, dia menjelaskan, masalah bekalan air dan serangan makhluk perosak antara masalah utama yang perlu ditangani bagi memastikan tanaman terus subur.
Katanya, pengalaman yang terhad ketika mula menceburi bidang itu menyebabkan dia mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Pertanian untuk mengenal pasti jenis serangga, ulat dan penyakit tanaman yang boleh menjejaskan hasil.
Selain itu, dia turut mengingatkan mereka yang ingin berjinak-jinak menceburi bidang pertanian supaya membuat perancangan pasaran terlebih dahulu sebelum memulakan penanaman secara komersial bagi mengurangkan risiko kerugian akibat kejatuhan harga dan ketidaktentuan permintaan.

Pada masa sama, Rizal turut menyarankan supaya mereka mendapatkan bimbingan Jabatan Pertanian bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam pengurusan tanaman.
Menyentuh mengenai rancangan pada masa depan, dia mahu terus mengusahakan tanaman sayuran kontan, termasuk peria, peria katak, petola dan labu air, di samping berhasrat mengembangkan kebunnya sekiranya berpeluang memperoleh tanah tambahan.
“Untuk masa depan, saya masih ingin berkebun kerana itulah perancangan saya ketika bekerja dahulu. Orang lama selalu berkata, ‘balik kampung tanam jagung’. Jadi, saya tukarkan ‘jagung’ itu kepada ‘sayur’. Saya tetap mahu kembali ke kampung dan berbakti kepada tanah,” katanya.
Usaha yang dilaksanakan Rizal selaras dengan Agenda Sekuriti Makanan iaitu salah satu daripada agenda utama dalam pelan komprehensif Perak Sejahtera 2030 bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi, bernutrisi, dan mampu milik untuk rakyat – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Usahanita Muallim pemangkin kebangkitan usahawan B40, ibu tunggal


