IPOH – Polis Perak menumpaskan tiga sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa warga tempatan, Jepun dan China menerusi serbuan berasingan di sini dan Kampar antara 22 hingga 26 Oktober lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan 36 individu, termasuk 30 warga China dan Jepun serta enam individu yang terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand.
Katanya, tiga sindiket berkenaan menjalankan aktiviti pusat panggilan penipuan termasuk dengan menyamar sebagai pihak hospital Jepun, serta pelaburan dan pinjaman wang yang tidak wujud.
“Bagi kegiatan pusat panggilan penipuan atau ‘scam call centre’ menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya mangsa.
“Kita percaya mereka ini tidak berada di satu-satu negara sahaja, sebaliknya bergerak dari satu negara ke satu negara, di samping sindiket ini beroperasi merentasi sempadan negara dengan menggunakan kemajuan teknologi komunikasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, serbuan yang dilakukan di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Simee, dekat sini pada Isnin membawa kepada penahanan lima lelaki warga Jepun berusia 21 hingga 27 tahun.
Menurut Mohd Alwi, mereka yang disyaki menyamar sebagai kakitangan hospital di Jepun itu memperdaya mangsa dengan mendakwa ahli keluarga mereka terbabit dalam kemalangan dan memerlukan pembedahan segera.
“Sindiket ini seterusnya meminta bayaran untuk memulakan rawatan dan pembedahan di hospital tersebut, selain aktiviti itu menggunakan aplikasi ‘Signal’ untuk berhubung dengan mangsa.
“Akaun bank yang digunakan oleh sindiket bagi menerima bayaran dari mangsa adalah akaun bank Jepun. Mereka bergiat aktif dalam aktiviti berkenaan sejak sejak hujung September lalu,” katanya.
Beliau berkata, serbuan itu juga membawa kepada rampasan pelbagai barangan elektronik seperti 16 unit telefon bimbit, tujuh unit peranti iPad serta dua unit penghala rangkaian yang kesemua berjumlah RM22,500.
Bagi serbuan pada Jumaat lalu, Mohd Alwi berkata, ia dijalankan di sebuah sebuah kilang teres di Kawasan Perindustrian Ringan di Bercham, di sini yang dipercayai dijadikan pusat panggilan penipuan bagi aktiviti penipuan pelaburan menyasarkan warga China.
Ujar beliau, hasil serbuan polis berjaya menahan 25 warga China, termasuk seorang perempuan yang kesemua berusia antara 26 tahun hingga 41 tahun itu.
“Kumpulan itu dipercayai mempromosikan pelaburan dalam talian tidak wujud yang menyasarkan rakyat China menerusi laman sosial TikTok sebelum mengarahkan bakal pelabur berkomunikasi melalui Telegram dan menggunakan platform pelaburan yang dibangunkan sendiri,” katanya.
Mohd Alwi berkata, pelaburan yang ditawarkan bermula daripada 99 Yuan (RM61) hingga 199 Yuan (RM122), manakala individu yang ditahan berperanan mencari pelanggan dan mempromosikan skim berkenaan dengan tawaran upah RM8,000 sebulan.
“Dalam serbuan, polis merampas 25 komputer dan empat penghala rangkaian yang dianggarkan bernilai RM25,000.
“Berdasarkan semakan rekod pasport didapati 22 orang daripada meka Ini telah berada di kemboja dan seorang telah berada di Thailand, sebelum masuk ke Malaysia. Baki dua orang lagi tiada rekod pergerakan dan masih dalam semakan pihak polis,” katanya.
Mohd Alwi berkata, bagi serbuan di Kampar, polis menyerbu dua unit pangsapuri di Bandar Agacia, Kampar, pada Khamis lalu dan menahan lima lelaki tempatan serta seorang wanita warga Thailand yang kesemuanya berusia 19 hingga 30 tahun.
“Mereka menggunakan rumah pangsapuri yang biasanya menjadi penginapan pelajar di Kampar bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Hasil semakan dengan akaun bank yang digunakan oleh sindiket ini mendapati ia terbabit dalam lima kes penipuan pinjaman wang tidak wujud di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, dan Sabah,” katanya lagi.
Tambah beliau, serbuan itu membawa kepada rampasan 13 telefon bimbit, serta enam kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM15,000.
Mohd Alwi berkata bagi ketiga-tiga kes di Kampar, Bercham dan Kampung Simee, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120B kanun sama. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Polis tahan tiga individu, tumpas sindiket bekal telefon bimbit, kad sim pada ‘scammer’


