KANGAR – Kesemua 11 warga Myanmar dan Thailand yang ditahan susulan insiden pelanggaran bot sehingga mengorbankan seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, perkembangan itu menjadikan kes berkenaan bukan lagi sekadar membabitkan pelanggaran undang-undang imigresen, sebaliknya turut melibatkan siasatan jenayah yang lebih berat.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Lebih serius, kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas semua tangkapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Laskar Kanan Teknikal Maritim Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, dilaporkan meninggal dunia manakala tiga lagi anggota APMM cedera dalam insiden pelanggaran bot ketika operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Sungai Padang, Kuala Perlis.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.37 malam Isnin lalu ketika lima anggota APMM menjalankan operasi bagi menahan sebuah bot yang disyaki membawa pendatang tanpa izin.
Dalam operasi itu, sembilan warga Myanmar terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita serta dua lelaki warga Thailand yang dipercayai bertindak sebagai tekong berjaya ditahan.
Kesemua mereka kini turut disiasat berkaitan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM. – BERNAMA


