Taiping pembuka tirai siri larian TM80 Heritage Run, himpun 3,200 peserta

TAIPING – Menggabungkan warisan sejarah telekomunikasi negara dengan semangat kesukanan merentasi generasi, TM80 Heritage Run di sini, hari ini menyaksikan kira-kira 3,200 peserta berhimpun bagi memeriahkan acara berkenaan.

Acara itu yang diadakan di Muzium Telegraf di sini, membuka tirai siri TM80 Larian Merentasi Generasi anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) sempena sambutan ulang tahun ke-80 syarikat telekomunikasi berkenaan.

Taiping dipilih sebagai lokasi pembuka tirai siri larian itu berikutan nilai sejarahnya dalam perkembangan telekomunikasi negara, apabila rangkaian telegraf darat pertama di Malaysia dibangunkan pada 16 April 1876, menghubungkan Kuala Kangsar, Taiping dan Matang di Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, acara tersebut mencerminkan peranan TM yang terus menghubungkan generasi rakyat Malaysia sepanjang lapan dekad.

Menurutnya, acara tersebut turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, termasuk hampir 900 warga TM dan bekas warga TM.

“Selama 80 tahun, TM telah membesar bersama Malaysia, menghubungkan rakyat dan masyarakat dalam setiap fasa pembangunan negara, daripada era telegraf, telefon sehingga kepada teknologi digital hari ini, TM terus berkembang mengikut keperluan negara.

Taiping pembuka tirai siri larian TM80 Heritage Run, himpun 3,200 peserta
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris (tengah) menyampaikan hadiah kepada juara kategori Terbuka Lelaki 10KM TM80 Heritage Run, G Vimal (kiri). Foto TM

“Bagaimanapun, apa yang penting bukanlah teknologi itu sendiri, tetapi bagaimana ia membawa manfaat kepada kehidupan rakyat, membantu mereka belajar, bekerja, menjalankan perniagaan dan terus berhubung. Inilah asas peranan TM dalam pembangunan negara.

“Melihat rakyat Malaysia daripada pelbagai generasi, termasuk warga dan bekas warga TM, berkumpul bersama di Taiping menjadikan sambutan ini lebih bermakna. Melangkah ke hadapan, tanggungjawab kami adalah untuk meneruskan legasi ini.

“Kami mahu memastikan Malaysia mempunyai infrastruktur dan keupayaan digital yang diperlukan untuk masa depan khususnya ketika teknologi seperi kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah cara kita hidup dan bekerja serta memastikan peluang yang dibawa oleh teknologi baharu dapat dinikmati oleh rakyat di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Siri TM80 Larian Merentasi Generasi akan melibatkan lapan acara larian di seluruh Malaysia sehingga tahun 2027, bagi membawa sambutan ulang tahun TM lebih dekat kepada masyarakat di seluruh negara.

Semalam, TM telah menganjurkan Terang Showcase di Muzium Telegraf Taiping yang menampilkan pertunjukan pemetaan projeksi, konsert mini unifi serta pelbagai aktiviti untuk komuniti setempat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

ZapaRun 2026 bawa konsep berlari sambil berwakaf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI