MTL: Perak pastikan tiada calon SPM tercicir akibat banjir

PARIT – Kerajaan Negeri Perak bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi penyelarasan bersama pelbagai agensi bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang berada di kawasan berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan itu dengan lancar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kira-kira 28,400 calon SPM di negeri ini dijangka menduduki peperiksaan bertulis bermula 23 November hingga 17 Disember depan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan peperiksaan berkenaan.

“Kita telah mengenal pasti beberapa daerah yang berisiko banjir susulan MTL antaranya Kerian, Larut Matang dan Selama, Perak Tengah dan Hilir Perak.

“Susulan itu, Operasi Payung dilaksanakan melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masing-masing bagi memastikan calon yang mungkin terjejas akibat banjir mendapat bantuan sewajarnya untuk menduduki peperiksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan sumbangan sempena Deepavali kepada murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Glenealy, di sini, hari ini.

Khairudin berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai pegawai daerah masing-masing memainkan peranan penting dalam memastikan segala keperluan calon di kawasan berisiko dapat ditangani dengan berkesan.

“Di Perak, kita memang sudah bersedia dan telah pun melaksanakan mesyuarat penyelarasan supaya tiada pelajar yang tidak dapat mengambil peperiksaan disebabkan MTL.

“Secara keseluruhannya, tahap kesiapsiagaan di Perak berada dalam keadaan baik dan kita berharap semua calon SPM di negeri ini dapat menduduki peperiksaan dengan lancar serta memperoleh keputusan cemerlang bagi SPM 2026,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MTL: Calon SPM di lokasi berisiko banjir akan dipindahkan ke asrama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI