IPOH – Sebanyak 26 mangsa daripada tujuh keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Komuniti Taman Desa Manjung setakat malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu berkurang berbanding 31 mangsa daripada lapan keluarga semalam.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan tiada amaran hujan berterusan dan tiada amaran angin kencang serta laut bergelora setakat ini.
Sebelum ini, kejadian ribut pada 31 Okt itu mengakibatkan lebih kurang 20 rumah terjejas, melibatkan antaranya pekan Beruas, Taman Beruas, Taman Desa, Taman Seri Delima, Taman Limau Emas, Taman Anggerik, Kampung Kilang, Kampung Dendang dan Kampung Paya Lima.
Turut terjejas ialah Sekolah Kebangsaan Gangga, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Shahriman, Dewan Inderawati dan Dewan Serbaguna Kompleks Kediaman Balai Polis Beruas.
Bagaimanapun tiada jalan dilaporkan dinaiki air atau terputus hubungan.
— BERNAMA


