Masjid, surau diminta adakan solat hajat doakan keselamatan mangsa banjir

PUTRAJAYA – Masjid dan surau di seluruh negara dimohon mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara serta seluruh mangsa banjir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat bersimpati dan sedih akan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.

“Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mond Na’im berkata beliau juga telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh jentera JPM (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan turun membantu mangsa-mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.

Beliau sendiri bersama agensi-agensi di JPM (Hal Ehwal Agama) hari ini akan meninjau dan berusaha membantu mangsa banjir yang terkesan di negeri-negeri terjejas.

“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun.

“Lawatan ini telah saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi banjir yang melanda negeri itu ketika ini

Sementara itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

Jumlah mangsa banjir di lima negeri terjejas banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah mencatatkan peningkatan kepada 28,032 orang pagi ini berbanding 25,763 orang malam tadi, yang ditempatkan di 137 pusat pemindahan sementara (PPS).

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat berbanding 19,423 orang pada 8 malam tadi.

Sementara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan hari ini menyarankan perkara yang sama.

Beliau berkata semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan disaran menganjurkan solat hajat selepas Maghrib malam ini dan selepas solat Jumaat esok bagi memohon perlindungan Allah SWT, serta kesejahteraan rakyat yang terjejas bencana banjir.

Katanya masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan juga akan digerakkan bagi melancarkan kutipan khas Jumaat, serta menghulurkan bantuan dan keperluan bersesuaian melalui pasukan bantuan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk disampaikan kepada golongan yang terkesan.

“Kami mendoakan agar dikurniakan keselamatan dan kemudahan kepada semua pasukan penyelamat, serta ketabahan buat semua saudara kami yang diuji dengan musibah,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI