BATU GAJAH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan pengampunan dan pembebasan awal kepada 58 banduan sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70, pada Jumaat.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia, Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, mereka terdiri daripada 55 lelaki dan tiga wanita yang kesemua berusia antara 28 hingga 64 tahun.
Katanya, kesemua banduan berkenaan menjalani hukuman di enam institusi penjara iaitu Penjara Tapah, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional dan Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Penjara Taiping, Penjara Seberang Perai dan sebuah penjara di Negeri Sembilan.

“Seramai 58 banduan diberikan pengampunan oleh Sultan Nazrin sekali gus membolehkan mereka dibebaskan lebih awal daripada tarikh tamat hukuman penjara yang sepatutnya. Daripada jumlah itu, seramai 37 banduan dibebaskan dalam majlis pada hari ini.
“Kesalahan yang dilakukan mereka adalah pelbagai, termasuk kesalahan berkaitan dadah dan jenayah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak 2026 di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, S. Tanabal Socklingam dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Terdahulu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin yang mewakili Sultan Nazrin menyempurnakan penyerahan sumbangan makanan tengah hari kepada banduan sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-70 Sultan Perak.
Rosoman berkata, penerima kurniaan pengampuan itu antaranya melibatkan golongan rentan termasuk banduan berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak sesuai lagi menjalani kehidupan dalam penjara.

“Lebih baik mereka diberi peluang mengikuti program pemulihan di luar tembok penjara supaya dapat kembali kepada keluarga masing-masing
“Setakat ini, seramai 66 banduan telah menerima pengampunan sepanjang tahun ini menerusi kurniaan Sultan Perak,” katanya lagi.
Mengulas proses pemilihan penerima, Rosoman berkata, proses itu dibuat menerusi kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan kerajaan negeri Perak dan pihak berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara dan peguam kanan negeri.
Beliau berkata, senarai nama calon kemudiannya akan dikemukakan untuk pertimbangan sebelum pemilihan dibuat untuk dipersembahkan kepada Lembaga Pengampunan Negeri bagi mendapat perkenan baginda.

Sementara itu, beliau berkata, Sultan Nazrin turut berkenan menyumbangkan RM143,360 bagi penyediaan makanan tengah hari kepada 8,960 banduan di institusi penjara di Perak sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda.
Jelas beliau, selain di Batu Gajah, baginda turut berkenan menaja makanan tengah hari kepada penghuni di enam institusi lain iaitu Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional Chenderiang, Penjara Satelit Kuala Kangsar dan Rumah Perantaraan Perak.
“Kurniaan ini besar maknanya kepada seluruh warga Jabatan Penjara Negeri Perak, khususnya para banduan yang menerima manfaatnya.
“Ia bukan sekadar memenuhi keperluan jasmani, malah menjadi lambang kasih sayang dan keprihatinan seorang Raja terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.
“Ia juga sekali gus dapat menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan dan pembentukan insan ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin biaya makanan tengah hari 8,960 banduan, tahanan


