LUMUT – Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut dari sebuah bot yang berada di tepi jeti berhampiran Jalan Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.46 tengah hari.
Menurutnya, susulan panggilan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setibanya di lokasi, pihak bomba dimaklumkan mangsa yang berusia 38 tahun itu dipercayai mengalami sawan sebelum terjatuh ke dalam laut.
“Operasi SAR masih giat dijalankan bagi mengesan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan seramai enam anggota BBP Pulau Pangkor dengan bantuan beberapa jentera. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kanak-kanak lelaki dua tahun hilang selepas dipercayai terjatuh Sungai Jahang


