IPOH – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu bermain mercun di kawasan persimpangan lampu isyarat di Ipoh seperti yang tular menerusi media sosial sejak Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu setakat ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan, walau bagaimanapun pihak polis akan menjalankan siasatan mengenai perkara ini termasuk mengenal pasti siapa yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Selasa.
Mohd Alwi berkata, siasatan turut merangkumi semakan ke atas sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya terdapat di sekitar lokasi kejadian.
Pada masa sama beliau berkata, polis memandang serius perbuatan berkenaan kerana boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya meraikan sesuatu perayaan di lokasi bersesuaian tanpa mengganggu keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana perayaan sepatutnya diraikan di tempat yang tidak mengganggu pengguna jalan raya atau masyarakat umum,” jelasnya.
Terdahulu, video kejadian yang tular di media sosial itu mengundang kebimbangan orang ramai berikutan tindakan bermain mercun di kawasan jalan raya yang juga digunakan kenderaan lain.
Rata-rata pengguna media sosial turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan berkenaan yang disifatkan tidak bertanggungjawab serta berpotensi mengundang bahaya kepada orang awam. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


