Hospital KKM kekurangan 4,127 pegawai perubatan, HKL perlukan 175 doktor pakar

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,127 kekosongan jawatan Pegawai Perubatan direkodkan di hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini, termasuk 1,370 kekosongan membabitkan Pegawai Perubatan Pakar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kekosongan itu bagaimanapun ditampung menerusi khidmat 18 Pegawai Perubatan Pakar dan 4,568 Pegawai Perubatan Bukan Pakar (MO) lantikan kontrak bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kekal pada tahap optimum.

Menurutnya, antara langkah diambil KKM bagi meningkatkan jumlah Pegawai Perubatan Pakar adalah dengan menambah slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) daripada 800 slot pada sesi 2009 kepada 1,000 slot pada 2013 dan 1,100 slot pada 2019.

“Bagi sesi tahun 2026 pula, slot telah ditingkatkan kepada 1,650 slot untuk menggalakkan lebih ramai Pegawai Perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran;

“Selain itu, KKM turut meningkatkan latihan kepakaran melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway di mana 400 slot ditawarkan bagi sesi 2026,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta menyatakan bilangan kekosongan pegawai perubatan dan pakar mengikut negeri serta pelan jangka masa mengisi kekurangan doktor pakar yang menyebabkan kesesakan hospital dan senarai menunggu pembedahan elektif berpanjangan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM telah melaksanakan beberapa strategi lain, termasuk melantik semula secara kontrak Pegawai Perubatan Pakar warganegara yang telah bersara wajib berdasarkan keperluan perkhidmatan, khususnya dalam bidang kritikal dan kawasan yang mengalami kekurangan pakar.

Selain itu, KKM turut mendapatkan khidmat kepakaran daripada sektor swasta secara sesi (sessional) serta menggalakkan Pakar Perubatan warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.

Sementara itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah merekodkan jumlah kekosongan doktor pakar tertinggi iaitu 175 jawatan, manakala Selangor mencatatkan kekosongan tertinggi bagi Pegawai Perubatan bukan pakar sebanyak 751 jawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI