Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 7.3 peratus pada September

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 7.3 peratus kepada 31,657 tan metrik pada September 2026 berbanding 29,510 tan metrik pada Ogos lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan peningkatan sebanyak 18.8 peratus berbanding 26,647 tan metrik yang direkodkan pada September 2025.

Menurutnya, pengeluaran getah asli negara pada September 2026 terus didominasi pekebun kecil yang menyumbang 89.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala estet menyumbang baki 10.5 peratus.

Dalam perkembangan sama, jumlah stok getah asli meningkat 5.6 peratus kepada 142,523 tan metrik pada September berbanding 135,016 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Kilang pemproses getah menyumbang bahagian terbesar stok akhir iaitu 76.5 peratus, diikuti kilang pengguna getah (23.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Bagaimanapun, eksport getah asli Malaysia merosot 11.9 peratus kepada 29,438 tan metrik pada September berbanding 33,426 tan metrik pada Ogos.

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli negara dengan sumbangan 33.4 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti Jerman (18.9 peratus), Amerika Syarikat (8.1 peratus), Turkiye (6.5 peratus) dan Portugal (3.7 peratus).

Bagi eksport produk berasaskan getah asli pula, sarung tangan getah terus mendominasi dengan nilai RM1.3 bilion pada September, namun mencatatkan penurunan 9.5 peratus berbanding RM1.4 bilion pada Ogos.

Dari segi harga, lateks pekat merekodkan purata RM6.81 sekilogram pada September berbanding RM6.88 sekilogram pada Ogos, iaitu penurunan 1.1 peratus.

Sebaliknya, harga purata sekerap meningkat 9.1 peratus kepada RM8.56 sekilogram berbanding RM7.85 sekilogram pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, data Bank Dunia menunjukkan harga getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 7.6 peratus kepada AS$2.41 sekilogram pada September berbanding AS$2.24 sekilogram pada Ogos.

Harga getah jenis SGP/MYS (Singapura/Malaysia) turut meningkat 0.7 peratus kepada AS$2.75 sekilogram berbanding AS$2.73 sekilogram pada bulan sebelumnya.

Mengulas prestasi suku tahunan, DOSM memaklumkan pengeluaran getah asli pada suku ketiga 2026 meningkat 35 peratus kepada 88,093 tan metrik berbanding 65,266 tan metrik pada suku kedua tahun sama.

Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran bagi suku ketiga 2026 merosot 6.1 peratus berbanding 93,815 tan metrik yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI