ALOR GAJAH – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mendakwa orang Melayu menyokong supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan di rumah, manakala hanya DAP tidak bersetuju.
Sehubungan itu, beliau berkata, isu membabitkan Najib memberi kesan positif kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) apabila dibangkitkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Orang Melayu suka Datuk Najib berada di rumah tahanan dan orang yang tak suka hanya orang DAP sahaja.
“Baguslah, sebab isu Najib adalah isu popular yang positif kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berceramah di Bilik Gerakan Batang Melaka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, di sini, malam tadi.

Ahmad mengulas pertanyaan mengenai tindakan pihak tertentu yang terus mengaitkan isu Najib dengan pengundi Melaka sepanjang kempen pilihan raya negeri itu.
Menurutnya, beliau menyambut baik tindakan membangkitkan isu tersebut kerana berpandangan ia memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.
Dalam perkembangan sama, Ahmad menyifatkan peluang kemenangan BN dan Perikatan Nasional (PN) sebagai cerah menerusi penyatuan ummah yang terjalin.
Katanya, penilaian itu berdasarkan penglibatannya secara langsung dalam kempen di lapangan serta beberapa siri mesyuarat penting bersama Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Saya bukan hanya melihat, saya berkempen betul-betul di lapangan, saya turun padang.
“Bukan ingin mendabik dada, bukan ingin mendahului takdir. Mudah-mudahan, insya-Allah kemenangan nampak cerah kepada Barisan Nasional dan juga Perikatan Nasional dalam penyatuan ummah yang berlaku pada saat dan ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazzette.


