JAKARTA – Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka sah meletak jawatan ketika berdepan kontroversi berhubung kelayakan pendidikannya, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik baharu di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Pembantu Gibran, Budi Arie Setiadi mengesahkan perkara itu kepada media selain mengatakan bahawa Gibran sudah menyerahkan surat peletakan itu kepada Presiden, Prabowo Subianto semalam.
Dua sumber di Dewan Perwakilan Daerah (DPD) berkata, Gibran dijangka menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada dewan berkenaan hari ini bagi membolehkan proses pengesahan peletakan jawatan dan pemilihan pengganti dilaksanakan.
Gibran, 39, anak sulung kepada bekas Presiden, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi berdepan penelitian Ahli Parlimen susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung bulan lalu yang mendapati dokumen pendidikannya tidak memenuhi syarat pilihan raya.
Pada masa sama, kira-kira 120 Ahli Parlimen daripada pelbagai aliran politik mengemukakan petisyen semalam bagi menuntut pemecatannya.
Ahli Parlimen, Mardani Ali Sera memaklumkan, Gibran tidak lagi memenuhi syarat sebagai Naib Presiden seperti termaktub dalam Perlembagaan Indonesia.
Menteri Kanan Undang-Undang, Yusril Ihza Mahendra pula berkata, DPD perlu mengadakan sidang bagi mengisytiharkan kekosongan jawatan selepas menerima surat peletakan jawatan Gibran, sebelum mengemukakan permintaan kepada Presiden supaya mencadangkan dua nama calon pengganti.
DPD dijadual mengadakan pemilihan dalam tempoh 60 hari.
Bagaimanapun, pejabat Gibran dan Prabowo belum memberikan maklum balas segera berhubung perkembangan itu.
Prabowo difahamkan tidak menyentuh isu peletakan jawatan berkenaan ketika menyampaikan ucapan pada satu acara parti politik pada Rabu. – Agensi.


